25 Oktober 2013

Mahkamah Rayuan membatalkan saman 711 pengguna terhadap kerajaan negeri Selangor dan dua lagi berhubung isu air percuma.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Zaharah Ibrahim membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan kerajaan negeri Selangor, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bagi membatalkan saman berkenaan.

Panel itu, yang turut dianggotai Datuk Anantham Kasinater dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, bagaimanapun tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.

Kerajaan negeri Selangor, Abdul Khalid dan Syabas mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 4 Februari lepas yang menolak permohonan mereka untuk membatalkan saman itu.

Responden merupakan penduduk Shah Alam yang memfailkan saman pada 11 September tahun lepas menuntut ganti rugi lebih RM400,000 selepas mendakwa tidak menerima subsidi air seperti yang dijanjikan kerajaan negeri Selangor.

Penyataan tuntutan mereka mendakwa semasa kempen pilihan raya umum 2008, kerajaan negeri Selangor berjanji pengguna domestik dengan kadar penggunaan 20 meter padu sebulan akan menikmati subsidi air iaitu percuma.

Berdasarkan manifesto itu, mereka mendakwa setiap pengguna domestik dengan Syabas adalah layak menerima subsidi bulanan sebanyak RM11.40 dan meskipun kerajaan negeri melaksanakan Skim Air Percuma pada 1 Jun 2008, mereka tidak menerimanya.

Mereka turut mendakwa Abdul Khalid kemudian menjelaskan bahawa pengguna dengan meter penggunaan air yang besar tidak layak menerima subsidi itu.

Selain ganti rugi, mereka menuntut perintah injunksi mandatori agar Syabas mengeluarkan bil air dengan rebat yang dijanjikan, faedah empat peratus setahun dan relif lain yang difikir wajar oleh mahkamah.

Responden diwakili peguam T.Geetha, kerajaan negeri Selangor dan Abdul Khalid oleh Edmund Bon manakala peguam Gopal Sreenevasan mewakili Syabas. - Bernama

0 comments:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Pengikut