31 Mac 2013


SPRM dan Peguam Negara Hina Mahkamah

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kerajaan Malaysia didakwa menghina keputusan mahkamah apabila gagal menyiarkan permohonan maaf kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di dalam akhbar bahasa Inggeris.

Ini selepas bekas Ketua Pesuruhjaya Datuk Seri Ahmad Said Hamdan gagal menyiarkan permohonan maaf beliau sejajar dengan persetujuan yang dicapai di dalam mahkamah tinggi Kuala Lumpur 19 Mac lalu.

Persetujuan itu direkodkan di hadapan hakim, Datuk Lau Bee Lian di dalam kes saman Abdul Khalid terhadap Ahmad Said. Kes itu berkenaan kenyataan bekas pesuruhjaya itu empat tahun lalu tentang sumbangan lembu korban di kawasan parlimen Bandar Tun Razak.

Antara terma persetujuan itu ialah Ahmad Said melafazkan permohonan maaf di mahkamah terbuka dan menyiarkan permohonan maaf tersebut di muka depan akhbar The New Straits Times dan The Star dalam tempoh empat (4) hari dari 19 Mac.

Bagaimanapun Abdul Khalid dalam satu kenyataan berkata, Ahmad Said, SPRM dan Kerajaan Malaysia bersikap liar dan tidak bertanggungjawab apabila dengan sengaja tidak menunaikan perintah tersebut.

“Mereka sehingga hari ini masih gagal melaksanakannya walaupun peguam saya telah menuntut defendan berbuat demikian.

“Ahmad Said, SPRM dan Kerajaan Malaysia secara terang-terangan telah menghina mahkamah kerana dengan sengaja tidak mematuhi dan menghormati perintah mahkamah,”
katanya di dalam satu kenyataan.

Pada 19 Mac, Ahmad Said memohon maaf secara terbuka di dalam mahkamah kepada Abdul Khalid dan menarik balik kenyataan yang diberikan dan diterbitkan pada 21 Februari 2009 oleh pihak media.

Pada 2009, Ahmad Said mendakwa bahawa Abdul Khalid telah menyalahgunakan kuasanya untuk menderma sejumlah RM 110,400 bagi tujuan membeli 46 ekor lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha di Bandar Tun Razak pada tahun yang sama.

Susulan daripada dakwaan itu, SPRM telah memulakan siasatan dan mendapati tidak ada unsur salahgunakuasa atau penyelewengan di dalam pembelian itu.

Tegas Abdul khalid, sikap melampau kedua-dua defendan ini bertujuan menghina beliau secara berterusan selaku mangsa kepada kata-kata berunsur fitnah.
Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan peguam, Sankara Nair untuk memulakan satu prosiding penghinaan mahkamah terhadap Ahmad Said, SPRM dan Kerajaan Malaysia.

“Tindakan defendan ini selari dengan sikap kerajaan Umno-BN yang telah memperkotak-katikkan badan kehakiman Malaysia.

“Mengingkari perintah mahkamah dilakukan tanpa sedikit pun rasa kesal kerana beranggapan kedudukan mereka mengatasi undang-undang di negara ini,” katanya lagi.

Ulasan GB

Mereka penjaga dan pelaksana undang-undang. Tetapi apabila terkena batang hidung mereka sendiri, mereka enggan untuk menerima dan mematuhinya.

Itu sudah menjadi tabiat dan pe'el golongan UMNO dan para pencacainya.

Lihat saja kes Ketua Pemuda UMNO yang bernama Khairy Jamaluddin di dalam pembohongannya berhubung syarat penyelesaian (settlement terms) yang dimeterai dalam kes saman fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap beliau.

Pada awalnya Khairy menarik balik kenyataan beliau pada 2007 yang memfitnah Anwar sebagai pengkhianat Melayu, ‘boneka’ Amerika dan Yahudi.

Tetapi kerana takut malu dan dituduh bacul oleh kumpulannya, beliau memutar dan membelitkan lidahnya dengan menyatakan ‘beliau tidak menarik balik kenyataannya ke atas Anwar, tetapi cuma berkata apa yang dipetik itu tidak betul dan tidak tepat’.

Beliau juga cuba gambarkan seolah-olah Anwar pula yang memohon perkara itu diselesaikan di luar mahkamah kerana bimbang dengan perbicaraan penuh.

kasihan sungguh golongan ini kerana mereka tidak tahu KEBENARAN itu tidak boleh disembunyikan.

Apabila kerajaan dan orang-orangnya sudah tidak lagi menghormati keputusan mahkamah, hukum kebenaran dan keadilan akan mengambil tempatnya. Tuhan sendiri yang akan menghukum mereka. Itu keyakinan orang yang beriman kepadaNya!

0 comments:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Google+ Followers

Pengikut