PETALING JAYA: Stesen televisyen TV3 pada Selasa memohon maaf kepada penonton negara ini terhadap penyiaran adegan kurang sopan dalam filem Into The Wild yang disiarkan menerusi saluran itu pada 24 Mac lalu.
TV3 dalam satu kenyataannya kepada mStar Onlinedi sini Selasa berkata, pihaknya akur terhadap kesilapan yang berlaku sehingga menimbulkan bantahan beberapa pihak.
“Pihak
kami memandang serius insiden ini dan TV3 akan berusaha memastikan
kandungan dan paparan yang disajikan kepada para penonton bukan sahaja
sarat dengan elemen hiburan dan "infotainment" semata-mata, malah turut
memastikan ia dapat memberi impak positif dan kesan moral bersesuaian
dengan cita rasa penonton,” kata kenyataan itu.
Pertubuhan
yang dikenali Allied Coorodinating Committee of Islamic NGO’s (ACCIN)
melalui Pengerusinya Datuk Zainal Abidin Ab. Kadir dalam sebuah akhbar
pada Selasa membantah tindakan TV3 kerana menyiarkan adegan bogel
terlampau filem berkenaan sehingga menampakkan kemaluan pelakon Emile
Hirsch.
ACCIN
turut kesal dengan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) kerana
kegagalan menapis adegan seperti itu dan juga filem-filem lain dari luar
negara.
Sementara itu LPFM yang dihubungi mStar Online memberitahu
pihaknya telah membuat 24 pemotongan adegan “panas” dalam filem
berkenaan sebelum dibenarkan untuk disiarkan oleh stesen televisyen itu.
Pengerusinya,
Datuk Raja Azhar Raja Abdul Manap berkata, TV3 sepatutnya perlu membuat
penyuntingan semula lebih-lebih lagi pada adegan bogel yang dilakonkan
oleh Emile Hirsch.
“Selepas
pemotongan dilakukan oleh LPFM, pihak kami telah meminta TV3 untuk
membuat penyuntingan semula. Tak sangka ia boleh terlepas begitu
sahaja,” katanya.
Dalam
pada itu, tambah Raja Azhar, apabila sesebuah filem atau drama yang
telah ditapis dan disiarkan itu mempunyai isu-isu sensitif, ia akan
dilaporkan terus kepada Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia (SKMM)
untuk diselidik.
"Pihak
kami akan menghantar laporan tentang isu berkenaan kepada pihak SKMM
untuk membuat tindakan lanjut dan berharap semua stesen televisyen di
negara ini mengikut garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya.
0 comments:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.