5 April 2013

BAKTI Serah Sumbangan Kepada Mangsa Kebakaran Di Kampung Puah

Posted by Unknown On Jumaat, April 05, 2013 | No comments
Kesanggupan Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor meredah hujan lebat bagi menyampaikan sumbangan kepada 26 keluarga dari Kampung Puah, Gombak dekat Kuala Lumpur yang terbabit dalam kebakaran 2 April lalu, ternyata menyentuh hati dan perasaan rakyat, sekaligus membuktikan keprihatinannya dalam membantu mereka yang memerlukan.
Beliau yang juga merangkap Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) tiba bersama ahli rombongannya di Dewan Rakyat, Kampung Puah selepas solat Asar untuk berkongsi kesedihan di atas kejadian yang menimpa mangsa.
Sambil meminta mangsa agar bersabar di atas ujian Allah itu, BAKTI katanya, menyerahkan sumbangan berjumlah RM2,000 kepada setiap keluarga yang terbabit dalam kejadian kebakaran pada tanggal 2 April lalu.
“Saya mewakili ahli-ahli BAKTI yang lain menzahirkan rasa simpati kepada semua keluarga yang terbabit dengan kejadian ini. Bersabarlah menghadapi ujian ini dan anggaplah ia sebagai suatu ujian daripada Allah SWT yang ingin menduga kekuatan hamba-hambaNYA.
“Melalui sumbangan yang tidaklah seberapa ini, saya harap ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang ditanggung di samping membantu meneruskan kehidupan seharian,” katanya yang sebelum itu berkesempatan meninjau keadaan rumah yang musnah terbakar dipercayai akibat litar pintas.
Sambil mengharapkan rumah mangsa dapat dibina semula, beliau turut berjanji membawa perkara itu kepada pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk tindakan sewajarnya.
“Saya berdoa supaya rumah yang terbakar ini boleh dibangunkan semula tetapi kita perlu selidik dari segi undang-undang sama ada ia boleh dibangunkan semula atau sebaliknya.
“Selain sumbangan BAKTI, saya percaya selepas ini ada pihak lain yang akan tampil membantu mangsa kebakaran Kampung Puah, Gombak ini,” katanya lagi.
Rosmah turut menyumbangkan barangan seperti selimut, pakaian dan makanan kepada mangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, tegas Rosmah, selagi diberi mandat dan kepercayaan, BAKTI akan terus menjaga kesejahteraan rakyat dan meneruskan agenda bantuan ihsan ke seluruh negara tanpa mengira bangsa, agama mahupun fahaman politik.
Dalam kejadian 2 April lalu, 17 buah rumah membabitkan 26 keluarga musnah dalam satu kebakaran pada jam 3.30 petang.
Kesemua mangsa ditawarkan rumah PPRT Bukit Jalil tanpa bayaran bulanan selama tiga bulan berturut-turut.

0 comments:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Pengikut