KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Rabu ini bagi menetapkan
tarikh penamaan calon dan pengundian bagi Pilihan Raya Umum Ke-13
(PRU-13).
Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed
Baria berkata selain dua tarikh penting itu, mesyuarat yang akan
diadakan di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya itu akan menetapkan tarikh
pengundian awal dan menentukan daftar pemilih pilihan raya umum
berkenaan.
“SPR menerima perisytiharan oleh Yang
di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mua’adzam Shah berhubung pembubaran
Dewan Rakyat pada 3 April (Rabu lepas). Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN)
di setiap negeri kecuali DUN Sarawak pula, SPR telah menerima
perisytiharan pembubaran DUN masing-masing,” katanya dalam satu
kenyataan di sini, Jumaat.
Beliau berkata pembubaran Dewan Rakyat
dan DUN itu adalah mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan
Negeri-negeri tersebut yang memberi laluan kepada SPR untuk mengadakan
PRU-13.
Kamaruddin berkata menurut Fasal (4)
Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, SPR perlu mengadakan pilihan raya
umum dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran itu. “Peruntukan yang
sama turut terkandung dalam Perlembagaan Negeri-negeri tersebut bagi
maksud mengadakan pilihan raya umum bagi DUN,” katanya. – BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.