PETALING JAYA – Selepas dua minggu Datuk
Chua Jui Meng ‘menghilangkan’ diri apabila terlepas peluang bertanding
di kerusi Parlimen Gelang Patah, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti
Keadilan Rakyat (PKR) Johor itu akhirnya tampil dan menyuarakan minat
untuk tetap bertanding pada pilihan raya akan datang.
Bagaimanapun bekas Naib Presiden MCA itu berkata sehingga kini belum ada kerusi yang ditawarkan untuknya.
Sambil mengakui menyedari bahawa kesemua
11 kerusi PKR di Johor sudah mempunyai calon, Chua bagaimanapun akur
dengan keputusan parti.
“Parti arahkan supaya saya tinggalkan ‘rumah’ saya di Gelang Patah kerana kata mereka saya disediakan sebuah ‘rumah’ baru.
“Tapi sehingga kini masih belum ada
mana-mana pintu dibuka kepada saya,” katanya pada sidang media di Ibu
Pejabat PKR di sini, Jumaat.
Menyifatkan kawasan Parlimen Gelang
Patah sebagai ‘rumah yang didiaminya’ sejak setahun yang lalu, Chua
turut mengakui bahawa penyokongnya di kawasan berkenaan kecewa dengan
keputusan tertinggi parti menyerahkan kerusi yang dilobinya itu kepada
veteran DAP, Lim Kit Siang.
“Sekarang saya sudah tiada ‘rumah’, dulu
‘rumah’ saya di Gelang Patah. Sejak sambutan Tahun Baru Cina lalu, saya
sudah menemui hampir kesemua pengundi di Gelang Patah.
“Tapi baru-baru ini parti arahkan saya supaya tinggalkan ‘rumah’ saya itu,” katanya.
Chua bagaimanapun menegaskan beliau akan tetap membantu DAP dan PAS pada PRU akan datang.
0 comments:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.