17 Oktober 2013

Buat Kenyataan Perkauman: Ali Rustam Disiasat Polis

Posted by Loveclip Fishing On Khamis, Oktober 17, 2013 | No comments

Calon Naib Presiden Umno, Senator Datuk Seri Mohd Ali Rustam (gambar) disiasat polis kerana dituduh membuat kenyataan menghasut terhadap komuniti Cina dalam satu majlis di Kuala Lumpur.

Polis Kuala Lumpur sudah memulakan siasatan mereka selepas laporan polis dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana dari DAP, Lai Kuen Ban di Balai Polis Tengkera pada 9 Oktober.

Pada satu majlis anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) 8 Oktober lalu, Mohd Ali yang juga Pengerusi PUNB mengecam kaum Cina kerana terlibat dengan “perniagaan haram” di negara ini.

"Kita umat Islam tidak boleh membuka kasino, 4D, Toto, perjudian, rumah urut dan syarikat pinjaman wang haram. Ini semua haram. Kaum Cina sahaja yang terlibat dengan semua perniagaan haram ini," katanya pada majlis itu.

Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong yang menemani Lai untuk membuat laporan polis berkata, dalam laporan berkenaan, Lai mendakwa kenyataan Mohd Ali merupakan satu hasutan dan mahu polis menyiasat perkara itu.

Lai kini berada di luar negara.

“Polis merakamkan kenyataan Lai pada hari sama,” kata Khoo.

Polis Brickfields menyiasat kes itu berikutan kenyataan Mohd Ali itu dibuat di sebuah hotel di ibu kota.

Ketua Polis Brickfields, ACP Muhammad Azlee Abdullah mengesahkan laporan sudah dibuat dan penyiasatan akan dilakukan tetapi enggan memberikan kenyataan lanjut.

Bagaimanapun, The Malaysian Insider difahamkan bahawa polis sudah mula merakamkan kenyataan beberapa orang yang berada di majlis itu termasuk wartawan.

Dalam majlis itu, Mohd Ali juga bercakap mengenai soal keperluan mengekalkan orang Melayu di agensi kerajaan, termasuk polis dan tentera.

Untuk memenangi undi golongan konservatif Umno, bekas Ketua Menteri Melaka itu turut berkata: "Kaum Cina mahukan segalanya. Orang Melayu telah layan mereka dengan baik.

"Apabila kaum Cina mahukan pertolongan membina sekolah dan biasiswa, kerajaan berikan kepada mereka. Tetapi pada hari pilihan raya, mereka lupa semua ini. Apa yang penting bagi mereka mengambil alih kuasa orang Melayu dan menjadikan mereka 'pendatang’,” katanya.

Kenyataan Mohd Ali itu mengganggu emosi 100 hadirin di majlis itu sambil sesetengahnya menjerit, “suruh Cina balik kampung.”

Mohd Ali adalah salah seorang daripada enam calon yang mahu mengisi tiga kekosongan jawatan naib presiden dalam pemilihan Umno Sabtu ini.

Calon lain ialah penyandang Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Shafie Apdal and Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selam Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menang tanpa dicabar oleh sesiapa.

Dalam pemilihan Umno 2009, Mohd Ali bertanding jawatan Timbalan Presiden tetapi dibatalkan pencalonannya kerana didapati terlibat dengan politik wang.

0 comments:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Google+ Followers

Pengikut