21 Oktober 2013

Gandingan Zahid Hamidi dan Khairy bakal menjadi pemimpin utama umno?

Posted by Loveclip Fishing On Isnin, Oktober 21, 2013 | No comments
WAL hasil balik asal. Wal asal balik hasil. Wal hasil cari pasal. Itu pasal tak hasil.
Demikian sebahagian lirik lagu yang dipopularkan oleh seniman agung, Allahyarham P Ramlee, dan diulang rakam oleh beberapa seniman kontemporari, termasuk Jamal Abdillah. Demikian jugalah hasil pemilihan kepemimpinan Umno pada hari Sabtu, 19 Oktober.

Sama ada 2,000 atau 140,000 perwakilan mengundi, nampaknya Umno tidak mampu berubah, tidak boleh membuat anjakan dan tidak berupaya membuktikan pewarisan yang meyakinkan.

Seperti yang saya ramalkan berulang kali, status quo kepemimpinan tertinggi Umno kekal. Dan seperti yang saya ramalkan berulang kali juga, Umno mungkin menuju ke penghujung jalan mati.

Kalau saya boleh meminjam ungkapan bahasa Inggeris, “the saving grace” yang sedikit sebanyak menyelamatkan air muka parti itu dalam pemilihan Naib Presiden adalah penolakan mutakhir terhadap calon-calon yang pernah dihukum oleh parti kerana politik wang.

Jelaslah yang Presiden parti itu, Mohd Najib Abdul Razak, yang menang tanpa bertanding, memperoleh apa yang beliau idamkan iaitu pengekalan status quo jawatan Naib Presiden. Sama ada beliau campur tangan secara tersurat atau tersirat, pasukan Naib Presiden beliau kekal.

Ini baik bagi Mohd Najib tetapi tidak semestinya baik bagi Umno. Tidak ada tanda nyata bahawa Umno semakin muda, segar dan dibarisi generasi pelapis kecuali beberapa kerat yang menang kerusi biasa MT.

Ahmad Zahid Di Ambang Kuasa

KEMENANGAN besar Ahmad Zahid meletakkan beliau sebagai bakal pewaris kepemimpinan Umno selepas Mohd Najib dan Timbalan Presiden Muhyiddin Mohd Yassin.

Menurut laporan Mingguan Malaysia, beliau memperoleh 185 undi bahagian dan 90,355 undi popular. Shafie Apdal (174/78,169) dan Hishammuddin Hussein (100/54,116). Mukhriz Mahathir mendapat 91 undi bahagian tetapi memperoleh undi popular yang tinggi sedikit daripada Hishammuddin. Undi popular beliau 54,315. Mohd Ali Rustam (7/14,8810) dan Mohd Isa Abdul Samad (7/12,380).

Sebagai pemimpin tertinggi Umno yang menang pertandingan, kedudukan Ahmad Zahid sangat kukuh. Adalah tidak mustahil beliau bertukar daripada penyokong setia kepada pencabar kepemimpinan teratas pada masa hadapan.

Ketegasan beliau memerangi jenayah sejak dilantik Menteri Dalam Negeri selepas Pilihan Raya Umum 5 Mei lalu telah pun membezakan beliau daripada pendahulu beliau di kementerian itu, Hishammuddin.

Malah pendirian tegas beliau terhadap jenayah dan keselamatan negara membezakan beliau daripada liberalisme Mohd Najib.

Tindakan Mohd Najib memansuhkan secara tergesa-gesa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ordinan Darurat dan Akta Buang Negeri menyaksikan pembebasan beribu-ribu anggota kongsi gelap serta penjenayah yang sekali gus menyebabkan peningkatan mendadak jenayah.

Mohd Najib amat bangga dengan rekod liberalismenya. Dalam Laman Web Rasmi Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia, beliau, antara lain, mengisytiharkan:

“Sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada 2009, saya sangat jelas dengan wawasan Malaysia sebagai sebuah negara moden, progresif dan sentiasa memandang ke hadapan dalam mengamalkan demokrasi yang melindungi hak serta kebebasan rakyat.

"Untuk itu, saya telah melaksanakan beberapa pakej transformasi politik paling bersejarah sejak Malaysia mengecapi kemerdekaan: Ordinan Darurat telah berakhir, undang-undang era penjajah iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri yang membenarkan tahanan tanpa dibicara dimansuhkan, lesen kawalan penerbitan akhbar telah dihapuskan, larangan kepada pelajar menyertai parti politik telah ditarik balik dan saya juga berjanji untuk mengkaji semula Akta Hasutan.”

Pendirian dan pendekatan Ahmad Zahid sejak menjadi Menteri Dalam Negeri jelas menyimpang daripada liberalisme dan keterbukaan Mohd Najib yang kurang disenangi oleh orang Melayu, khasnya ahli Umno.

Gabungan Ahmad Zahid-Khairy

DENGAN keputusan itu juga, Umno mungkin sedang menyaksikan kemunculan gandingan masa depan yang baru.

Dua watak yang menang mutakhir dan mutlak adalah Ahmad Zahid dan Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin.

Untuk terus mara dan menyekat kemungkinan cabaran masa depan, Ahmad Zahid perlu melihat melepasi Shafie dan Hishammuddin.

Beliau tentu tahu bahawa Khairy boleh menjanjikan sokongan yang lebih padu kepada beliau dalam kedudukannya sebagai Ketua Pemuda. Undi blok Pemuda penting untuk masa depan.

Gabungan Ahmad Zahid-Khairy juga perlu dan relevan memandangkan latar belakang pendidikan, pendedahan dan pendekatan mereka yang berbeza.

Ahmad Zahid boleh menjadi juara Melayu dan juara dalam negara manakala Khairy boleh menjadi jurucakap di luar negara. Sebagai negara global, Malaysia memerlukan pemimpin yang berperwatakan global juga. Setakat jaguh kampung tidak memadai.

Ahmad Zahid dan Khairy perlu membawa masuk Pergerakan Puteri ke dalam percaturan siasah dan pentadbiran masa depan negara.

Saya bersemuka buat kali pertama dengan Ketua baru Puteri, Mas Ermieyati Samsudin, dalam temu ramah Bernama TV Jumaat lalu dan saya yakin beliau boleh dilatih dan dibentuk untuk menjadi pemimpin pewaris yang baik.

Pemilihan begitu ramai Menteri dan Timbalan Menteri menduduki MT melemahkan lagi kemampuan MT bercakap bagi pihak orang Melayu.

Ada beberapa kerat saja ahli MT yang tidak berjawatan tinggi (atau belum diberikan jawatan) yang boleh menjadi suara orang Melayu dan Bumiputera jika mereka mahu dan berani. Tetapi kalau mereka pun digula-gulakan juga, maka tidak adalah suara Melayu bebas dalam MT. Maka kemungkinan MT penggal ini menjadi MT “yes men” dan “yes women” kepada Prediden adalah sangat tinggi.

Seperkara lagi yang tidak kurang penting adalah ketandusan pemimpinan pelapis Umno. Ia adalah manifestasi kurangnya penyertaan generasi muda dan terpelajar dalam parti itu akibat disekat dan dicantas serta persepsi negatif generasi baru terhadap Umno.

Hal ini membezakan Umno daripada parti-parti lawannya seperti PKR, PAS dan DAP yang mempunyai ramai pemimpin muda dan pelapis yang cekap menyelidik, berbahas dan berartikulasi.

Kepemimpinan Umno yang baru dipilih dan perwakilan yang memilih mereka tidak boleh menyalahkan sesiapa sekiranya parti mereka dilihat sebagai bakal pewaris burung dodo yang pupus 350 tahun lalu. Wallahualam.

0 comments:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Google+ Followers

Pengikut