
Program keagamaan Al Kulliyah yang cukup
sinonim dengan TV3 berehat seketika siarannya. Demi mengisi kekosongan
program berkenaan TV3 menampilkan sebuah lagi program yang penuh ilmiah,
Muhammadku yang bakal membawa penonton merasai dan mencontohi insan
agung Rasulullah SAW junjungan mulia bermula 4 Oktober lalu, setiap
Jumaat.
Pelbagai topik akhlak menarik akan
disampaikan setiap minggu. Muhammadku, program terbaru yang penuh dengan
teladan dan bersifat kerohanian dijangka mampu menarik minat variasi
golongan penonton dan buat julung kalinya menampilkan pendakwah terkenal
iaitu Habib Ali Zaenal Abidin AlHamid sebagai pemimpin program ini.
Pengisian ilmiah berdasarkan sirah
junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Penonton akan lebih terkesan lagi
melalui penyampaian Habib Ali dengan konsep penceritaan dan dibantu
dengan replika set berupa sebuah madrasah berusia 1400 tahun dulu
bersama dengan tata cahaya yang sangat tenang serta mampu menyentuh hati
penonton demi mengimbas dakwah dan akhlak Nabi Muhammad SAW.
Latar belakang Habib Ali
Sedikit mengenai latar belakang Habib
Ali Zaenal Abidin AlHamid, beliau dilahirkan pada Jumaat, 12 April 1974,
selepas solat Jumaat di Bondowoso, Jawa Timur, Indonesia. Anak kedua
daripada empat beradik ini datang daripada keluarga sederhana yang hidup
di sebuah perkampungan didiami ramai ulama.
Beliau mengembara ke merata tempat untuk
menuntut ilmu, termasuklah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,
dalam jurusan AlQuran dan Sunnah. Berlatarbelakangkan pendidikan dan
pembangunan diri Habib Ali yang dinamik dan menyeluruh, digabungkan
bakat semula jadi dan kemahiran berdakwah yang diasuh dan dibentuk
gurunya, menjadikan beliau seorang pendidik dan pendakwah yang bukan
saja dikenali kehebatan di medan ilmu dan dakwah, tetapi juga berakhlak
mulia.
Sepanjang perkongsian ilmu rancangan 13
episod ini, setiap episod Muhammadku juga diserikan persembahan kumpulan
Ahbabul Habib mengalunkan alunan gemersik Qasidah pujipujian kepada
junjungan besar ke atas Baginda SAW yang juga selama ini alunannya
semakin dilupakan.
Contohi akhlak nabi
Semoga program baru ini bakal memberi peluang kepada penonton mengutip nilai cerita dari kisah disampaikan.
Belajar daripada insan mulia junjungan
kita adalah sebaik akhlak yang selama ini hanya bersandarkan kepada
kepintaran IQ manusia saja.
Catatkan dalam diari anda, nantikan
Muhammadku, setiap Jumaat dari jam 5 hingga 6 petang, yang sudah bermula
sejak 4 Oktober lalu. Semua 13 episod program ini diterbitkan Siti
Zainah Juahir bersama Penerbit Eksekutif Ahmad Noor Sulaiman, hanya di
TV3. Penonton yang terlepas menyaksikan Muhammadku boleh menontonnya
melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my dan juga layari
Facebook, Instagram & Twitter TV3malaysia untuk mendapatkan maklumat
terkini.
0 comments:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.