17 Oktober 2013

Timbalan menteri dalam negeri membuat kenyataan yang sangat mengarut, dengan memberikan alasan paling tidak logik bagi mempertahankan kerajaan dalam usaha untuk menyelamatkan undi Sarawaknya,” kata Pua dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Wan Junaidi semalam yang menyebut bahawa kabinet membenarkan kalimah 'Allah' digunakan dalam Bible berbahasa Melayu di Sabah dan Sarawak.

Pua berkata, keputusan Mahkamah Rayuan hari Isnin lalu tidak menyatakan secara khusus bahawa kalimah 'Allah' tidak boleh digunakan dalam The Herald.

Sebaliknya, penghakiman itu menegaskan pengharaman ke atas penggunaan kalimah tersebut oleh kesemua agama lain.

Malah, katanya, pengerusi panel hakim berkenaan Datuk Seri Mohamad Apandi Ali menyatakan dengan jelas bahawa ancaman ke atas Islam dalam konteks negara ini ialah pengembangan agama lain ke atas pengikut Islam.

Tambahnya, para hakim berkenaan turut memutuskan bahawa kalimah 'Allah' tidak melengkapkan fahaman dan ajaran Kristian, khususnya dari aliran Gereja Roman Katolik.

Oleh yang demikian, kata Pua, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kalimah tersebut tidak dibenarkan daripada digunakan dalam Bible dalam apa juga bahasa.

Menurut Pua, larangan itu akan menjejaskan berjuta-juta pengikut Kristian di Sabah dan Sarawak yang menggunakan Al-Kitab.

Katanya, Wan Junaidi dalam kenyataan kepada portal berita The Malaysian Insider tersebut juga menyebut bahawa keputusan mahkamah hanyalah undang-undang kes yang tidak dapat dikuatkuasa walaupun ia menjadi sebahagian dari undang-undang di negara ini.

“Sekali lagi, Wan Junai membuat putar belit tidak logik dalam hujahnya bahawa keputusan mahkamah 'biasanya tidak boleh dikuatkuasa'. Jika begitu, kenapa perlu pergi ke mahkamah untuk mendapat pengadilan?

“Adakah ia bermakna jika The Herald tidak mematuhi keputusan Mahkamah Rayuan maka tiada agensi yang boleh 'menguatkuasakannya' ke atas mereka?,” soalnya. -mk


Keputusan mahkamah tidak terpakai di Sabah dan Sarawak, kata Wan Junaidi


Larangan penggunaan kalimah Allah yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan semalam hanya terpakai kepada akhbar mingguan Katolik, Herald dan bukannya kepada penerbitan Kristian lain atau Bible dalam bahasa Melayu, Al-Kitab yang digunakan di Sabah dan Sarawak, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata keputusan Kabinet membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Al-Kitab di Sabah dan Sarawak serta jaminan yang dikeluarkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada 2011 masih terpakai.

Katanya, isu ini masih belum selesai dan beliau percaya kes ini akan dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

"Saya percaya akan ada lagi semakan kehakiman."

Wan Junaidi berkata keputusan oleh Mahkamah Persekutuan kelak akan mengakhiri segala perkara berbangkit.

Katanya, keputusan Mahkamah Persekutuan nanti akan dipolitikkan oleh pihak tertentu.

"Keputusan yang diputuskan mahkamah adalah berpandukan Perlembagaan dan tidak menerima tekanan daripada sesiapa.

"Bermakna polis atau agensi lain tidak mempengaruhi keputusan mereka," katanya ketika ditemui dalam satu acara penyembelihan korban di Tabuan Hilir, Sarawak.

Namun, Wan Junaidi berkata kerajaan berpandukan undang-undang boleh menggunakan kuasanya untuk menarik balik keputusan mahkamah melalui pindaan undang-undang di Parlimen.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tuaran Datuk Madius Tangau memberi amaran kepada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) agar tidak membabitkan negeri di Malaysia Timur terhadap keputusan Mahkamah Rayuan semalam.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UPKO berkata penggunaan kalimah Allah di Sabah dan Sarawak tidak mendatangkan apa-apa masalah di sana.

Katanya, penganut Kristian di Sabah dan Sarawak telah menggunakan kalimah itu sejak 100 tahun lalu dengan aman dan harmoni.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, Tan Sri Dr James Masing turut senada dengan Madius.

"Datuk Zulkifli Noordin tinggalkan keputusan itu di Semenanjung dan jangan bawanya ke Sabah dan Sarawak untuk merosakkan keharmonian di sini."

Masing-masing turut menyuarakan kebimbangan sekiranya keputusan itu terpakai kepada Al-Kitab akan memungkiri janji Datuk Seri Najib Razak di Sibu pada 2010.

"Sekiranya perkara itu benar berlaku akan merosakkan kredibiliti Barisan Nasional (BN) dan Najib sebagai Perdana Menteri," katanya.
-TMI

0 comments:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Pengikut

Friends