16 Oktober 2013

Larangan Pemakaian Hijab Dibantah

Posted by Unknown On Rabu, Oktober 16, 2013 | No comments


Isu mengharamkan wanita Muslim memakai purdah ketika di tempat awam baru-baru ini menjadi antara topik hangat yang dibincangkan ahli Parlimen di Britain selepas dua kes berkaitannya mendapat liputan meluas media antarabangsa.

Bermula dengan kisah seorang hakim, Peter Murphy mengarahkan seorang wanita menanggalkan purdah ketika membuat rayuan di mahkamah atas alasan, memudahkan juri mengesahkan identiti defendan.

Selepas itu, Birmingham Metropolitan College mencetuskan kontroversi baru apabila mengharamkan pelajar dan kakitangannya memakai atau mengenakan purdah atau apa-apa pakaian menutup muka termasuk tudung, topi dan hoodies.

Alasannya, bagi tujuan keselamatan dan supaya mudah dikenal pasti pada setiap masa. Namun, larangan itu nyata diselar kebanyakan pelajar dan ia ditarik semula selepas kempen dan bantahan diadakan bagi menentang keputusan itu.

Berbeza keadaannya di sebuah sekolah persendirian Islam pertama di Britain iaitu Sekolah Al-Madinah yang mengarahkan kakitangan memakai tudung dan melarang pelajar menyanyi serta membaca kisah dongeng.

Malah, guru wanita di sekolah itu, perlu menandatangani kontrak baru yang mewajibkan memakai tudung walaupun bukan beragama Islam. Selain itu, mereka turut dilarang membawa makanan tidak halal ke sekolah dan memakai barangan kemas.

Sebagai sekolah persendirian, Al-Madinah ditubuhkan September tahun lalu beroperasi di luar bidang kuasa pihak berkuasa tetapi masih layak mendapat pembiayaan daripada kerajaan.

Perdana Menteri Britain, David Cameron menyokong tindakan institusi yang mengharamkan pemakaian purdah di kalangan wanita Islam di negara itu.

“Ini adalah negara yang bebas dan semua orang bebas memakai apa jua pakaian sama ada ketika di tempat awam atau pun tidak.

“Bagaimanapun, kita perlu menyokong undang-undang sesebuah institusi supaya ia dapat memainkan peranannya dengan baik,” katanya.

Menurutnya, jika pihak sekolah ingin mempunyai kod etika pakaian khas yang mewajibkan pelajar memakai tudung, kerajaan perlu memberikan sokongan. Begitu juga dengan mahkamah dan pihak imigresen.

Ketika mengulas mengenai pendapatnya mengenai cadangan hakim perlunya ada garis panduan kebangsaan mengenai pemakaian niqab di mahkamah, beliau bersetuju dengan cadangan itu.

“Sudah tentu ketika berada di mahkamah hakim perlu melihat muka seseorang. Saya pernah berada di tempat itu dan sememangnya perkara itu perlu dilakukan sebagai seorang hakim.

“Apabila seseorang datang ke sesebuah negara, pegawai imigresen perlu melihat mukanya dan apabila berada di sekolah proses pengajaran dan pembelajaran adalah sukar, melainkan dapat melihat ke dalam mata pelajar,” katanya.

Komen itu diperoleh selepas Pejabat Menteri, Jeremy Browne mencadangkan ahli parlimen perlu berbincang semula sama ada kerajaan perlu campur tangan dalam mengharamkan wanita Islam memakai purdah ketika di tempat awam.

Sementara itu, Turki juga mengumumkan penarikan semula pengharaman memakai penutup kepala di kebanyakan pejabat awam, kerana pengkritik berpendapat fahaman Islam boleh meneguhkan sesebuah negara sekular.

Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan berkata, beberapa pengecualian penjawat awam dibenarkan menutup kepala selepas larangan itu dikuatkuasakan sejak sekian lama.

“Bagaimanapun, pengharaman tetap dikekalkan kepada hakim, pendakwa, polis dan anggota tentera,” katanya dalam ucapan sempena memperkenalkan pembaharuan politik negara itu.

Penarikan semula larangan adalah sebahagian daripada pembaharuan politik yang diumumkan Erdogan bagi meningkatkan hak kumpulan minoriti termasuk 15 juta Kurd di negara tersebut.

Menurutnya, ia juga adalah satu langkah ke arah pemulihan sekali gus mengakhiri era kegelapan di negara itu selepas lebih 70 tahun.

0 comments:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Pengikut

Friends