25 Oktober 2013


Mahkamah Tinggi Temerloh hari ini mengarahkan polis dan kerajaan Malaysia membayar RM370,000 kepada Pengerusi Anak Felda (Anak), Mazlan Aliman.

Hakim Datuk Akhtar Tahir dalam keputusannya mendapati polis bersalah membuat tangkapan terhadap Mazlan dalam kes Felda Lembah Klau, Raub, Pahang.

Akhtar memerintahkan kerajaan Malaysia membayar Mazlan RM300,000 bagi ganti rugi am dan ganti rugi teladan (RM50,000) serta kos mahkamah (RM20,000).

Polis menangkap Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat di Felda Lembah Klau, Raub pada 18 Ogos lalu.

Sehubungan itu, Mazlan melalui peguamnya menyaman polis dan kerajaan Malaysia atas dakwaan membuat tangkapan salah dan memalukannya.

Mazlan diwakili peguam Wan Rohimi Wan Daud. -TMI

BERITA SEBELUM INI

Keputusan Mazlan saman polis, kerajaan 23 Okt


TEMERLOH: Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir hari ini menetapkan 23 Oktober depan sebagai tarikh keputusan perbicaraan kes saman malu Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman terhadap polis dan Kerajaan Malaysia.

Peguam yang mewakili Mazlan, Wan Rohimi Wan Daud berkata pada 16 Ogos 2010, Mazlan selaku plaintif telah memfailkan saman terhadap empat pihak iaitu Pengurus Felda Lembah Klau Awang Sulong, Felda, Inspektor Mohd Azran Rahmat (pegawai polis yang menangkapnya) dan Kerajaan Malaysia.

Saman bernilai RM2 juta itu berikutan tangkapan (berniat jahat) yang dibuat terhadap Mazlan di Felda Lembah Klau dua tahun lalu.

Namun pada perbicaraan 21 Jun 2011, Hakim Mahkamah Tinggi telah menggugur Felda daripada dikaitkan dengan kes berkenaan.

Menurut fakta kes, pada 9 Mac 2010 kira-kira jam 4.15 Mazlan ketika memenuhi satu undangan dialog dan perbincangan dengan peneroka berkaitan dengan masalah-masalah dialami mereka di rumah peneroka Hamidun Yeop Isa, telah dikepung oleh 30 orang polis bantuan Felda yang bersenjata dan diugut secara biadab oleh pegawai-pegawai Felda.

Hamidun merupakan peneroka yang telah melangsaikan semua hutang dengan Felda dan telah mendapat hak milik tanah kediaman dan ladang.

Mazlan kemudian telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub. Namun terdapat satu lagi laporan oleh pengurus rancangan Felda Lembah Klau yang menyebabkan beliau kemudiannya ditahan, direman dan terpaksa merengkok selama dua hari di lokap IPD tersebut.

Wan Rohimi berkata, perbicaraan hari ini ialah plaintif mencabar tangkapan dan penahanan yang kononnya dikenakan di bawah Seksyen 441 Kanun Keseksaan atas dakwaan melakukan pencerobohan ketika mengadakan sesi dialog dengan peneroka semalam. Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih enam bulan dan didenda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

“Dalam kes ini Hamidun telah menjelaskan semua hutangnya dengan Felda, beliau telah mendapat hak milik tanah dan tidak terikat dengan Akta GSA. Jadi tidak ada pencerobohan jenayah dilakukan Mazlan ke atas harta Felda.

“Mazlan tidak berceramah di balai raya. Jadi tidak ada elemen kesalahan jenayah tetapi kenapa beliau ditahan, direman dan merengkok di lokap IPD Raub dahulu. Jadi atas asas inilah plaintif menyaman polis dan Kerajaan Malaysia,” katanya.

Tambah Wan Rohimi, keputusan pada 23 Oktober nanti juga akan menetapkan jumlah ganti rugi kepada plaintif.

Dalam pada itu, Mazlan berkata hari ini beliau melalui pengalaman pertama bercakap dalam kandang saksi di mahkamah.

Turut mengiringi Mazlan ke Mahkamah Tinggi Temerloh hari ini ialah Timbalan Presiden Anak Aris Fezul Ismail, Pengerusi Anak Pahang Yohanis Ahmad, Penasihat Undang-Undang Anak Harris Abdullah, Penasihat Undang-Undang PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid serta kira-kira 30 penyokong.
-HD

0 comments:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Pengikut