Sejak bergelar isteri dan ibu, Fasha
Sandha mengakui publisiti bukan lagi menjadi keutamaan buat dirinya
biarpun masih aktif dalam dunia lakonan. Sebaliknya, aktres jelita ini
sekarang lebih memberi tumpuan pada keluarganya. Meskipun kini dia
jarang muncul di dada akhbar juga kaca TV berbanding sewaktu zaman anak
daranya, namun Fasha bersyukur kerana hampir 10 tahun dalam industri
lakonan, dia masih diberi peluang dan kepercayaan untuk menjayakan
pelbagai watak baik dalam drama mahupun filem.
“Alhamdulillah saya suka dengan
perkembangan saya sekarang. Walaupun ramai pelakon baru tapi saya masih
ada tawaran berlakon. Saya dah melalui fasa lain. Kerjaya dan publisiti
sekarang dah jatuh nombor 2. Kini saya dah jadi isteri dan ibu jadi
tumpuan saya lebih pada keluarga.
“Tapi saya ni jenis suka bekerja. Memang dari remaja lagi saya dah
diasuh untuk bekerja. Kalau saya duduk rumah, saya tak tahu nak buat
apa. Masa saya mengandung pun, saya tetap bekerja dan banyak habiskan
masa di salon saya. Suami saya pun tak beri apa-apa syarat kalau saya
nak teruskan kerjaya saya.“Sedih dan berat hati jugalah bila nak keluar bekerja dan terpaksa tinggalkan Rayfal. Tapi saya memikirkan tanggungjawab saya kepada masyarakat, saya kuatkan semangat. Tambah-tambah sekarang kalau saya nak keluar rumah tu, Rayfal dah pandai nak ikut saya. Biasanya saya akan hantar ke rumah ibu atau rumah ibu mertua saya”, Fasha mengenai perkembangan terbarunya ketika ditemui di lokasi penggambaran telemovie Cinta Mat Semprit, di Tasik Ampang Hilir, semalam.
Lego Boleh, iPad Tidak!
Dalam pada itu tambah Fasha, dia teruja
melihat perkembangan anak sulungnya Putra Rayfal yang kini berusia lima
bulan yang sudah pandai merangkak.
Kata isteri kepada Rizal Ashram aka Jejai ini, dia menggunakan
pendekatan mendidik putera kesayangannya itu dengan didikan tradisional
dan moden.“Saya gunakan dua-dua pendekatan, moden dan tradisional dalam mendidik Rayfal. Dan saya tak bagi dia main iPad, biarlah dia main lego. Bagi saya, bayi kena jadi bayi, kanak-kanak kena jadi kanak-kanak. Tak mahu dia cepat sangat terdedah dengan gadjet yang ada sekarang”, ujarnya.
Perkembangan lain, Fasha bakal muncul dalam telemovie sempena Aidiladha berjudul Cinta Mat Semprit. Fasha melakonkan watak sebagai Lola, pakar membuat kuih semperit. Lola merupakan kakak kepada Ariel (lakonan Aeril Zafrel). Dia sanggup melakukan apa saja demi kebahagiaan adiknya.
Telemovie arahan Raja Ahmad Alauddin turut dijayakan Aeril Zafrel, Izara Aishah dan Roy Azman. Ia bakal bersiaran pada 15 Oktober, 10 malam di TV3. – Malaysian Digest
0 comments:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.