28 Mac 2013


Ahli parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan meramalkan tujuh buah negeri bakal dikuasai Pakatan Rakyat selepas pilihanraya umum akan datang.

Kit Siang dalam satu temu bual dengan akhbar berbahasa Cina, Sin Chiew Daily memberitahu tujuh buah negeri tersebut ialah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan manakala Terengganu, Pahang, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak kekal di tangan Barisan Nasional (BN).

Manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kekal di tangan Pakatan Rakyat sementara Putrajaya dan Labuan masih dalam genggaman BN.

Beliau meramalkan kesemua empat negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan tidak mampu dirampas BN manakala Perak yang juga dikuasai Pakatan Rakyat selepas pilihanraya umum ke-12 sebelum tumbang pada Februari 2009 diramal kembali kepada pakatan itu.

Sambil mengakui Kedah berada dalam kedudukan 50-50, Kit Siang turut memberi analisa menarik mengenai Perlis yang diramal mampu membuat kejutan kali ini.

Dengan cuma tiga kerusi parlimen dan 15 kerusi DUN di negeri terkecil di Malaysia itu, Kit Siang menganggar Pakatan Rakyat akan menang di lapan kerusi DUN sekaligus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.

Antara alasannya adalah kemunculan beberapa muka baru menggantikan muka lama seperti Azmi Khalid dan Radzi Sheikh Ahmad tidak mampu menarik golongan muda mengundi BN selain kemelut dalam Umno negeri antara menteri besar, Md Isa Sabu dengan bekas menteri besar, Shahidan Kassim mampu menyumbang kemenangan Pakatan Rakyat.

Namun hanya dengan jentera penerangan yang kuat serta bertemu pengundi secara terus merupakan kunci kepada kemenangan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Manakala di Negeri Sembilan, Kit Siang menjangka Pakatan Rakyat akan membentuk kerajaan negeri selepas pilihanraya umum akan datang.

Dengan 36 kerusi menjadi taruhan, serta mengambil kira keputusan pilihanraya umum lalu, Pakatan Rakyat dijangka menang 22 kerusi DUN berbanding 15 pada pilihanraya umum lalu.

Mana-mana pakatan mesti memperolehi sekurang-kurangnya 19 kerusi bagi memperolehi majoriti mudah sekaligus membentuk kerajaan negeri yang baru.

Daripada analisis terkini, Negeri Sembilan dijangka tidak menghadapi masalah mengekalkan kesemua 15 kerusi DUN dan mengintai peluang cerah untuk merampas enam atau tujuh kerusi BN yang majoritinya di bawah 700 undi selain memperbaiki prestasi tiga kerusi DUN yang dimenangi di bawah majoriti yang sama.

Ditanya mengenai peluang mengekalkan Kedah, Kit Siang menganggap PAS mampu menyelesaikan polemik antara kepimpinan negeri bagi membantu kestabilan politik di negeri itu.

Kedah antara sasaran terbesar BN selain misi utama mereka merampas kembali Selangor yang menjadi lombong emas BN satu ketika dahulu.

Di peringkat parlimen katanya, Pakatan Rakyat akan membentuk kerajaan persekutuan baru tanpa memberitahu jumlah kerusi yang akan dimenangi.


Mengulas kemungkinan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang bertanding di Perak atau Selangor, Kit Siang menegaskan ia adalah hak beliau untuk memilih mana-mana kerusi yang dianggap boleh menbantu Pakatan Rakyat merampas Putrajaya.

Sumber risikan terbaru memberitahu, Pakatan Rakyat dijangka mampu memiliki 127 daripada 222 kerusi keseluruhan berbanding BN cuma 95 kerusi setakat Januari tahun ini.

Parlimen alan terbubar secara automatik pada 28 April ini jika tiada pembubaran parlimen dibuat sebelum tarikh tersebut dan pilihanraya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dengan DUN Negeri Sembilan bakal terbubar automatik tengah malam ini.

0 comments:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Google+ Followers

Pengikut