WANITA demi wanita hadir dalam hidup Hans Issac. Terbaharu, lelaki
berumur 42 tahun itu didakwa semakin intim dengan selebriti jelita,
Neelofa.
Namun Hans enggan sensasi 'cinta lokasi' bersama heroinnya Neelofa
menjadi fokus dalam strategi pemasaran filem terbaharunya Lemak Kampung
Santan.
"Saya sedih jika kisah hubungan kami yang lebih-lebih diberi fokus. Tak
guna saya buat filem ini dengan sungguh-sungguh jika orang hanya mahu
ambil tahu pasal hubungan kami.
"Setakat ini hanya gambar-gambar kami dari lokasi penggambaran yang
selalu digunakan oleh pihak media. Selama ini juga saya tolak semua
permintaan media untuk menggandingkan kami dalam mana-mana sesi
fotografi tapi apabila filem ini sudah sampai masanya untuk
dipromosikan, saya tetap kena buat sesi fotografi.
"Macam apa yang kami lakukan hari ini (Isnin lalu). Saya buat pelancaran
awal ini dengan harapan menjelang pratonton nanti, fokus dapat
diberikan kepada filem, bukan hubungan kami," jelas Hans yang tahu
bahawa ramai dalam kalangan media sedia maklum tentang status
hubungannya bersama Neelofa.
Kata Hans, dia mahu bersikap tertutup kali ini kerana tidak mahu hanya
diingati dengan kisah cinta jika tidak lagi berada di persada seni pada
masa hadapan.
"Saya mahu dikenang berdasarkan kerja saya selama ini. Bagi saya yang
penerbit menggunakan gosip cinta sebagai gimik untuk lariskan filem
mereka ialah penerbit yang kurang berkeyakinan terhadap dengan filem
sendiri. Zaman 1980-an memang ada banyak produksi filem menggunakan cara
tersebut untuk melariskan filem. Di Hollywood juga tidak terkecuali.
"Tapi sekarang sudah tahun 2013, tidak mungkin saya akan menggunakan
cara yang sama untuk pancing penonton ke pawagam," ujar Hans heboh
dikatakan bercinta dengan Neelofa sejak pelakon serta pengacara itu
terbabit dalam pembikinan filemnya tahun lalu.
Masih seperti Cuci yang meletakkan dirinya sebagai hero filem terbitan
dan arahan sendiri, Hans juga berani menyifatkan tiada pelakon lelaki
lain yang paling layak untuk watak Ridzuan, hero filem Lemak Kampung
Santan itu melainkan dirinya sendiri.
"Saya seorang yang sangat selektif dengan kerja saya. Semasa proses
penulisan skrip lagi saya sudah berbincang tentang watak. Setiap pelakon
harus ada karakter Ridzuan dan rasanya watak itu kena dengan saya
kerana saya sendiri mahu terlibat dalam filem itu. Saya tawarkan watak
Ridzuan itu kepada saya, lagi pun ia boleh menjimatkan kos," jelasnya
sambil diakhiri dengan nada berseloroh.
Bercakap mengenai pemilihan pelakon pula, Hans mengatakan, dia memilih
pelakon yang bersesuai dengan watak, bukannya popular semata-mata.
0 comments:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.