REMBAU – “Saya tidak menyangka perbualan
singkat dengan arwah sekitar 4 pagi (Rabu lalu) sebelum dia keluar
bekerja merupakan perbualan terakhir, malah arwah sempat mengucapkan
‘adik pergi dulu’.” Itulah luahan ibu pemandu lori yang maut tersepit
dalam kemalangan di kilometer 31, Jalan Seremban Tampin, dekat sini,
petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang
itu, Ahmad Nurashid Kasim, 27, yang dalam perjalanan dari Klang ke
Melaka maut selepas lori yang dipandunya merempuh sebuah lori lain di
persimpangan masuk ke jalan Astana Raja, dekat sini.
Ibu mangsa, Nisa Maarof, 54, berkata, dia dia terkejut sebaik tiba di Hospital Tampin (HT) apabila mengetahui anaknya meninggal.
“Saya dan suami dimaklumkan mengenai
kejadian itu oleh rakan arwah yang menyuruh kami sekeluarga segera ke
hospital, namun tidak dimaklumkan hal sebenar,” katanya.
Manakala saksi kejadian, Lans Koperal
Anuar Hisham Saadon, 35, berkata, dia melihat dengan jelas mesin dan
barangan tar jalan yang dibawa lori yang dirempuh melantun dan mengenai
hadapan lori mangsa.
Menurutnya, ketika kejadian dia dan dua
lagi anggota sedang melakukan rondaan secara bermotosikal dari Balai
Polis Kota ke Kampung Bongek seperti biasa.
“Dua anggota sudah melepasi persimpangan
berkenaan, bagaimanapun saya yang berada di belakang sempat mengelak
dari menjadi mangsa rempuhan lori yang meluncur laju ke hadapan selepas
dirempuh lori lain,” katanya.
Rakan mangsa, Muhamad Takia Abdul Kadir,
26, berkata, sebelum kejadian arwah ada menghubunginya untuk minum
petang bersama namun arwah sudah berada di Rembau manakala dia masih di
Senawang.
“Arwah mencadangkan untuk berhenti minum
dan menunggu saya di Simpang Ampat. Bagaimanapun, apabila melalui
lokasi kejadian, saya berasa tidak sedap hati apabila melihat lori
dipandu arwah terlibat dalam kemalangan.
“Ketika saya sampai, arwah yang tersepit
di bahagian kaki masih lagi bernyawa kerana dia memberikan reaksi
apabila saya memanggil namanya,” katanya.
Sementara itu, Jurucakap Polis berkata,
siasatan awal mendapati lori yang dipandu mangsa merempuh sebuah lori
lain yang membawa muatan kerja menurap jalan yang sedang berhenti di
persimpangan bagi membelok ke kanan jalan.
Menurutnya, anggota bomba mengambil masa 10 minit bagi mengeluarkan mangsa tersepit di bahagian kaki tempat duduk pemandu.
“Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian
susulan cedera parah di badan dan kaki. Mayat mangsa dibawa ke HT untuk
proses bedah siasat.
“Susulan insiden itu lima anggota bomba
dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau diketuai Pegawai Bomba Kanan 2,
Mohd Yusoff Samad telah dikejarkan ke lokasi kejadian,” katanya
0 comments:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.