PUTRAJAYA – Selaras dengan pembubaran
Dewan Rakyat hari ini, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
sekali lagi mengingatkan penyokong Barisan Nasional (BN) agar
mendahulukan parti tanpa mengira individu yang bertanding dalam pilihan
raya umum ke-13.
“Ini pertandingan antara parti, bukan
pertandingan antara orang perseorangan kerana hanya parti saja yang
boleh tubuh kerajaan, jadi mereka mesti tentukan parti mereka menang.
“Kalau mereka betul-betul setia pada parti, jangan kira siapa jadi calon.
“Kalaupun di situ dia letak calon MCA,
Umno mesti sokong. Kalau dia letak calon Umno, MCA, MIC mesti sokong
kerana kita hendak parti BN menang,” katanya kepada pemberita di
pejabatnya di sini hari ini.
BN diyakini akan memenangi PRU13 nanti,
malah mungkin dengan majoriti dua pertiga berdasarkan pengundi, termasuk
pengundi Cina kini dilihat kembali kepada BN berdasarkan respons
daripada siri perjumpaan yang dihadiri pemimpin parti, katanya.
Ditanya sama ada beliau akan kembali
bertanding untuk menyahut cabaran penasihat DAP, Lim Kit Siang supaya
beliau bertanding bagi kerusi Parlimen Gelang Patah, Johor, Dr Mahathir
berkata, beliau tidak mahu bertanding lagi memandangkan beliau sudah
bersara dan Lim yang sepatutnya mengikut jejak beliau.
“Dia patut bersara sebab dia aktif dalam
politik ini sejak tahun 1964, bagilah can (peluang) kepada orang muda.
Saya bagi peluang pada orang muda sebab itu saya letak jawatan pada
2003.
“(Lim) Kit Siang ini walaupun dia
seorang ahli politik yang berpengalaman dan berpengaruh, tapi tiba
masanya dia tarik diri, tak usah bertandinglah, bagilah peluang pada
orang muda,” katanya.
Dr Mahathir sebelum itu menerima kunjungan bekas ahli Pas seumur hidup Zainon Ismail yang memohon maaf kepada beliau.
Zainon atau lebih dikenali dengan nama
CN Afghani mengaku pernah merancang membunuh Dr Mahathir pada tahun 1988
kerana terpengaruh dengan ‘Amanat Haji Hadi’ yang menyatakan bahawa
Umno kafir.
0 comments:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.