KUALA LUMPUR – Walaupun sedang berdepan
insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah, Polis Diraja
Malaysia (PDRM) tetap komited dan memberikan jaminan bahawa proses
pilihan raya umum ke-13 (PRU13) akan berjalan lancar.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit
Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata proses PRU13 tidak akan
terganggu walaupun sebahagian anggota pasukan keselamatan ditugaskan
dalam Operasi Daulat di Sabah.
“Kita akui kita sedang berhadapan dua
isu besar (pilihan raya umum dan Operasi Daulat), yang boleh memberikan
impak terhadap penugasan kita. Namun kita yakin kita dapat mengendalikan
kedua-duanya dengan baik dan terkawal,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian berikutan
pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengenai
pembubaran Dewan Rakyat bagi memberi laluan kepada PRU13.
Mohd Bakri berkata dakwaan proses
pilihan raya akan terjejas kerana anggota polis tidak mencukupi untuk
memantau dan mengawal PRU adalah tidak benar kerana pihak polis telah
mengadakan persiapan untuk menghadapi sebarangan kemungkinan.
“Tidak bermakna anggota-anggota kita
yang ditempatkan di Lahad Datu itu akan menjejaskan persediaan polis
untuk menghadapi pilihan raya.
“Kita ada elemen-elemen tertentu yang
boleh membantu dari sudut untuk memastikan pilihan raya itu berjalan
teratur terutamanya berkaitan keselamatan,” katanya.
Mohd Bakri berkata PDRM juga mempunyai
‘pelan kontingensi’ dalam menangani masalah-masalah di luar jangkaan dan
bersiap sedia dalam menghadapi apa juga cabaran atau masalah.
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan
Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (PGA/Pengurusan Sempadan/Kawalan
Keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa), Datuk Muhammad Fuad Abu
Zarim sebelum ini berkata anggota yang mencukupi akan ditempatkan
sepanjang proses pilihan raya, lebih-lebih lagi di kawasan yang dianggap
‘hotspot’.
Seramai 112,00 anggota polis di setiap
cawangan akan berkawal selepas pembubaran Dewan hingga selesai pilihan
raya dan keadaan benar-benar terjamin selamat, katanya.
Muhammad Fuad berkata polis juga memberi
jaminan untuk memastikan proses pengundian berjalan lancar dan pengundi
tidak perlu berasa takut untuk melaksanakan tanggungjawab mereka pada
pilihan raya umum akan datang
0 comments:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.