KUALA LUMPUR – Pelakon Intan Ladyana,
30, mengakui lebih memilih terhadap tawaran-tawaran watak yang diberikan
kepadanya dalam sesebuah drama atau filem.
Kata pelakon yang sudah sembilan tahun
bergelar anak seni ini, dia mahu penonton melihat perkembangan bakat
lakonannya melalui pelbagai karakter yang dibawa.
“Saya pilih watak yang ditawarkan, kalau boleh saya tidak mahu watak yang sama sahaja dan tidak mencabar.
“Saya tidak mahu peminat melihat saya
dengan watak yang sama, tentu tidak bagus untuk perkembangan kerjaya
saya,” katanya kepada mStar Online.
Tambah Intan, dia lebih gemar membawa watak yang serius berbanding watak komedi yang sering dilakonkannya.
“Kalau boleh memang saya mahu watak-watak yang serius terutamanya jika filem seram biarlah seram yang serius berbanding komedi.
“Sebagai pelakon sudah tentu kita
inginkan watak-watak berat dan mencabar, namun kita juga sedar tidak
banyak filem-filem seperti yang kita inginkan itu diterbitkan,” katanya.
Dalam pada itu, Intan yang terlibat
dalam persembahan Teater Muzikal Destini Anak Bangsa pada Januari lalu
mengakui mula meminati cabang seni tersebut.
“Kepuasan terhadap berlakon teater
memang lain berbanding berlakon di drama dan filem, saya akui saya mula
rasa minat terhadap persembahan teater.
“Kalau boleh saya mahu diberi peluang untuk beraksi di pentas teater lagi,” katanya.
Dalam pada itu, bercerita tentang filem
Kecoh! Hantu Raya Tok Chai, Intan yang pertama kali memegang watak
sebagai anggota polis mengakui ia memberi satu pengalaman yang
berlainan.
“Ini merupakan pertama kali saya diberi
watak anggota polis dan cabaran utama adalah dari segi pemakaian seragam
yang tidak boleh diambil mudah.
“Namun Alhamdulillah, sepanjang penggambaran memang ada pegawai polis yang hadir dan beri bimbingan kepada kami semua,” katanya.
Filem genre komedi seram ini mengisahkan seorang penduduk kampung bernama Tok Chai yang membela makhluk halus iaitu Hantu Raya.
Kehidupan orang kampung berubah selepas Hantu Raya milik Tok Chai mengganggu dan mencari tuan baru selepas kematian Tok Chai.
Antara barisan artis yang turut membintangi filem ini adalah Saiful Apek, Bokhari, Sathia dan Allahyarham Kuswadinata.
Kecoh! Hantu Raya Tok Chai akan mula ditayangkan di seluruh pawagam bermula 18 April ini.
0 comments:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.