Kuala Lumpur – Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Nakhaie Ahmad menegaskan
beliau tidak akan mengundi adiknya, Datuk Najmi yang dicalonkan PAS
bertanding di Parlimen Baling pada Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.
Beliau yang menjadi pengundi di kawasan
itu menyatakan iltizam berkenaan kerana mahu memastikan BN mendapat
mandat kukuh untuk terus memerintah, sekali gus menjamin kepentingan
agama, bangsa dan negara.
Katanya, beliau tidak menghalang hasrat
Najmi bertanding mewakili PAS walaupun tidak setuju dengan perjuangan
parti itu yang semakin celaru dan mengelirukan umat Islam.
Bebas amal fahaman politik
Ini kerana, katanya mereka berada dalam keluarga politik dan bebas mengamalkan fahaman politik berbeza.
“Kami adik beradik tidak campur dalam
soal politik kerana masing-masing ada pandangan sendiri. Najmi ada
meminta pandangan saya sebelum ditawarkan menjadi calon tetapi dia tetap
memilih untuk menerima tawaran PAS.
“Malah, adik saya yang ke-11, Musaddaq
juga dijangka bertanding mewakili PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN)
Guar Chempedak tetapi itu tidak menghalang hubungan kekeluargaan antara
kami, hubungan kami tetap mesra walaupun mereka tahu pendirian saya yang
menyokong BN,” katanya kepada BH.
Najmi, 62, yang juga bekas Pengarah Kor
Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT) diumumkan sebagai calon
menggantikan penyandang Datuk Taib Azamudden Md Taib yang mengalami
masalah kesihatan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Selasa
lalu.
Sebelum ini, abang Nakhaie, Zawawi
pernah menjadi Ahli Parlimen Padang Terap sebelum tewas kepada Datuk
Ghazali Ibrahim pada PRU 2004 dengan majoriti 2,172 undi.
Pendirian jelas
Nakhaie yang keluar PAS pada 1988
sebelum menyertai UMNO setahun selepas itu berkata, beliau mempunyai
pendirian yang jelas dalam memilih parti dan sehingga kini beliau tidak
yakin dengan kemampuan dan janji pakatan pembangkang termasuk dalam isu
moral pemimpin mereka.
“Sampai sekarang saya tidak boleh terima
perjuangan pembangkang, walaupun adik saya menjadi calon PAS, saya
tetap pangkah BN,” katanya
0 comments:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.