KUALA LUMPUR – Pemimpin politik
kedua-dua pihak turun di ibu negara hari ini ketika kegelisahan mengenai
pemilihan calon pilihan raya umum ke-13 mula memuncak, sehaselepas
Parlimen ke-12 dibubarkan.
Datuk Seri Najib Tun Razak
mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno diikuti mesyuarat Dewan
Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Menara Dato Onn di sini untuk
memperkukuh segala kelonggaran sebelum mengemukakan manifesto BN pada
Sabtu ini, dengan perdana menteri juga berjanji akan mengumumkan nama
calon lebih awal sebelum hari penamaan calon.
Momentum bergerak laju apabila
Suruhanjaya Pilihan Raya dijangka menentukan tarikh penamaan calon dan
hari pengundian, yang dispekulasi bahawa segalanya akan berakhir
menjelang bulan ini.
Najib yang akan mengetuai BN ke medan
tempur buat pertam kali berkata pengumuman lebih awal daripada biasa
calon BN akan membolehkan mereka lebih bersedia dan bertemu pengundi
lebih awal.
“Tunggu pengumuman. Saya tidak mahu
berkata apa-apa sekarang tetapi akan ada perubahan. Ia penting untuk
mempunyai unsur kejutan,” katanya kepada pemberita selepas
mempengerusikan kedua-dua mesyuarat tersebut. Menghadapi pertempuran
sukar untuk memperoleh semula kehilangan yang dialami pada pilihan raya
umum 2008, BN dijangka mengemukakan 40 peratus calon muka baru.
Najib mengesahkan beliau akan
mempertahankan kubu Pekan apabila diminta mengulas keputusan ketua
pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di Perak dan tidak
lagi mempertahankan kerusi kawasan Parlimen Permatang Pauh.
“Saya tidak pernah termimpi untuk
meninggalkan Pekan. Secara politiknya, saya akan hidup dan mati di
Pekan,” kata Najib yang menjaga Pekan sejak 1976, tempat kelahiran dan
kawasan ayahanda beliau, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang
meninggal dunia ketika menjadi perdana menteri kedua.
Manifesto BN, kata Najib mengandungi komitmen BN untuk meneruskan transformasi negara dan ekonomi demi kemakmuran rakyat.
Menurut Anwar, isteri beliau dan
Presiden PKR, Datin Wan Azizah Wan Ismail tidak akan bertanding walaupun
dilaporkan sebelum ini beliau akan bertanding di kerusi Dewan Undangan
Negeri di Selangor.
Anwar memberitahu stesen Al-Jazeera pada
Rabu, bahawa isterinya mengambil keputusan tidak bertanding apabila
Anwar ditanya tentang soal nepotisme di dalam PKR kerana beliau
merupakan penasihat PKR sementara anak perempuan mereka Nurul Izzah naib
presiden PKR.
Wan Azizah tidak kelihatan apabila Anwar
dan pemimpin parti pembangkang yang lain berhimpun selama tiga jam di
ibu pejabat PKR di Petaling Jaya sebelum Anwar muncul dan berkata
perbicangan peruntukan kerusi dikalangan mereka akan disambung esok.
PAS diwakili Mursyidul Am yang juga
Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat sementara DAP
diwakili Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri
Pulau Pinang.
“Selepas pembubaran semalam, 48 hingga
78 jam seterusnya adalah kritikal bagi BN dan pembangkang untuk
menentukan senarai calon mereka. Dari apa yang dlihat terdapat beberapa
lagi perkara yang masih perlu diatasi dan dijangka proses tawar-menawar
dan pertukaran akan berterusan sehingga hari penamaan calon,” kata
penganalisis politik.
Pertarungan kali ini akan menyaksikan BN
dan pakatan pembangkang merebut 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi DUN
di 12 buah negeri kecuali Sarawak yang telah mengadakan pilihan raya
negeri pada April 2011.
DUN Johor dan Selangor bubar hari ini,
sementara tiga negeri lagi yang diperintah pembangkang iaitu Pulau
Pinang, Kelantan dan Kedah masih belum dibubarkan.
Lim dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri
Azizan Abdul Razak berkata DUN negeri masing-masing akan dibubar esok
sementara Nik Abdul Aziz menghadap Sultan Muhammad V malam ini.
0 comments:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.