PULAU PINANG – Rancangan jahat membakar
Stadium Nasional Bukit Jalil oleh ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada
1998 didorong sifat taksub melampau terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Ketua Wanita PKR negeri, Aminah
Abdullah berkata, rancangan itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana
parti tersebut mempunyai pelbagai strategi lain untuk mencetuskan
huru-hara.
“Demi Anwar, penyokongnya sanggup
melakukan apa sahaja biarpun tindakan mereka akan menjejaskan
ketenteraman awam serta memalukan negara.
“Selain itu, pelbagai perkara lain juga
akan dilakukan semata-mata memberi imej buruk kepada pihak berkuasa yang
mengambil tindakan terhadap mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di
sini hari ini.
Aminah mengulas rancangan membakar
stadium berkenaan ketika majlis perasmian Sukan Komanwel oleh Ratu
Elizabeth pada 1998 berikutan pemecatan Anwar sebagai Timbalan Perdana
Menteri ketika itu.
Pendedahan oleh bekas penyokong kuat
Anwar, Zulkifli Noordin semalam, antara lain turut menyebut mereka juga
merancang mencetuskan huru-hara di tempat lain termasuk di kediaman
Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya dan Pusat Dagangan Dunia
Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Kata Aminah, penyokong PKR terlalu
taksub dan menganggap Anwar yang juga Ketua Pembangkang itu sebagai
manusia paling ‘bersih’ sehingga sanggup bertindak di luar batasan.
“Selain itu, jika mengadakan demonstrasi
jalanan, kami diarahkan duduk di tengah jalan dan tidak bangun ketika
dihampiri atau ditarik oleh anggota polis.
“Semua ini dilakukan bagi menunjukkan
kepada masyarakat dan media luar negara kononnya polis bertindak kejam
terhadap penyokong Anwar,” ujarnya.
Aminah yang meninggalkan PKR pada 2007
berkata, gelaran ‘pejuang’ yang diberikan kepada mereka ketika itu
membuatkan semangat menentang kerajaan dan mencetuskan suasana huru-hara
semakin membuak-buak demi Anwar.
Sehubungan itu, beliau meminta penyokong
Anwar mengawal emosi dalam berpolitik ketika musim Pilihan Raya Umum
Ke-13 dan tidak melakukan tindakan yang boleh menggugat keselamatan
rakyat dan negara
0 comments:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.