KUALA LUMPUR – Polis hari ini mengulangi
ingatan kepada pihak yang berkenaan agar berhati-hati ketika membuat
kenyataan menerusi media sosial sepanjang pilihan raya umum ke-13
(PRU13) ini, bagi mengelak pelanggaran undang-undang terutama berkaitan
hasutan.
Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis
Negara (Perhubungan Awam) ACP Ramli Mohamed Yusof berkata ini berikutan
perang siber semakin rancak, membabitkan parti politik, penyokong mereka
dan pelbagai pihak lain.
“Kadang-kadang semasa kita teruja, kita
menulis secara tidak bertanggungjawab. Perkara ini dipantau polis dan
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi mengelak penyebaran
gejala hasutan dan sebagainya,” katanya pada taklimat media sempena
PRU13, di Bukit Aman di sini, Jumaat.
Ramli berkata orang ramai boleh mendapatkan maklumat berkaitan PRU13 menerusi laman Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM)
Dalam pada itu, bagi memastikan
kelancaran operasi polis sepanjang PRU13, seramai 11 pegawai kanan
dilantik untuk memantau 14 kontinjen.
Mereka ialah Timbalan Ketua Polis Negara
Tan Sri Khalid Abu Bakar yang akan memantau kontinjen Negeri Sembilan,
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Seri Mohd Bakri Zinin
(Sabah), Pengarah JSJ Komersil Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan (Kedah
dan Perlis), Pengarah Pasukan Petugas Khas Datuk Seri Mohamad Fuzi
Harun (Perak) dan Pengarah Pengurusan Datuk Mortadza Nazarene (Sarawak).
Turut terbabit Pengarah JSJ Narkotik
Datuk Noor Rashid Ibrahim yang akan memantau kontinjen Kelantan dan
Terengganu, Pengarah Jabatan Logistik Datuk Pahlawan Zulkifli Abdullah
(Johor dan Melaka), Pengerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara Datuk
Wira Ayub Yaacob (Pahang), Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan
Ketenteraman Awam (JKDNKA) Datuk Seri Salleh Mat Rasid (Kuala Lumpur),
sementara Timbalan Pengarah II Cawangan Khas Datuk Eo Chong Cheong
(Pulau Pinang) dan Pengarah I JKDNKA Datuk Abd. Rahman Hussin pula akan
memantau kontinjen Selangor.
Kata Ramli sepanjang PRU13 Bukit Aman akan mengadakan taklimat media dua kali sehari. – BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.