5 April 2013

PosLaju Lantik MPH Bookstore Sebagai Ejen

Posted by Unknown On Jumaat, April 05, 2013 | No comments
KUALA LUMPUR – PosLaju, unit Pos Malaysia Bhd, melantik MPH Bookstore Sdn Bhd sebagai ejen sah rasmi untuk menjual perkhidmatan kurier prabayarnya di empat cawangan terpilih MPH.
Cawangan berkenaan ialah MPH One Utama di Petaling Jaya, MPH MidValley dan MPH Bandar Tasik Selatan, kedua-duanya di Kuala Lumpur, dan MPH Subang Parade di Subang Jaya.
PosLaju juga adalah rakan kongsi kurier bagi MPH dalam menyediakan perkhidmatan mengambil dan menghantar bagi pesanan yang dibuat melalui kedai buku dalam talian.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Pos Malaysia Bhd, Shukrie Salleh berkata perkongsian dengan MPH Bookstore akan membolehkan syarikat kurier itu menambah dan menyediakan perkhidmatan kepada lebih ramai pelanggan.
“Ini akan memberi lebih banyak laluan kepada PosLaju menjual dan mempromosikan produk prabayar, seperti sampul dan kotak.
“Kami melihat permintaan bagi produk kami amat tinggi dan kami tidak mahu ia terhad kepada tempat jualan sampul dan kotak prabayar di cawangan kami saja,” katanya kepada pemberita pada majlis pemeteraian perjanjian kerjasama antara kedua-dua syarikat di sini, hari ini.
Shukrie berkata, PosLaju juga berhasrat untuk bekerjasama dengan pihak lain seperti Syarikat Prasarana Negara Bhd dan Proton Edar.
Pada masa ini, PosLaju mempunyai hampir 100 ejen sah dan Shukrie berkata, syarikat merancang untuk melantik lebih banyak ejen lagi.
“Tetapi kami amat memilih dalam melantik ejen memandangkan terdapat kriteria tertentu yang kami lihat bagi memastikan mereka memenuhi keperluan kami,” katanya.
Perkongsian antara PosLaju dan MPH Bookstore adalah bagi tempoh setahun. Sehingga kini, MPH adalah satu-satunya kedai buku yang menawarkan perkhidmatan ini. – BERNAMA

0 comments:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Pengikut