Lahad Datu – Seorang lagi lelaki
tempatan ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah
Khas) 2012 (Sosma) dalam operasi polis bagi membanteras saki-baki
penceroboh dari Selatan Filipina di Sabah.
Lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di
Tanjung Aru, Kota Kinabalu petang semalam, kata Timbalan Pesuruhjaya
Polis Sabah Datuk Tan Kok Liang.
Beliau berkata dalam Operasi Daulat
semalam, polis turut menahan seorang wanita berusia 45 tahun yang
mempunyai kad identiti dari kesultanan Sulu di Kampung Sungai Bilis,
Felda Sahabat dekat sini.
“Kami masih menyiasat penglibatan
kedua-dua mereka dengan insiden pencerobohan militan Sulu,” katanya pada
sidang akhbar di Markas Operasi di Felda Sahabat 16, dekat sini hari
ini.
Sementara itu, beliau berkata sebuah
lagi balai polis bergerak ditempatkan di sekitar Kampung Tanjung Labian
dan Kampung Tanjung Batu mulai pagi ini bagi meningkatkan keyakinan
penduduk kampung yang terjejas akibat insiden pencerobohan itu.
Tan berkata sehingga pukul 1 tengah hari
ini, 20 laporan polis telah dibuat antaranya membabitkan kehilangan
harta benda serta rumah yang dibakar dan dirosakkan militan terbabit.
Beliau berkata polis percaya lebih banyak laporan polis akan dibuat penduduk untuk tempoh terdekat.
“Selain balai polis itu, pasukan keselamatan juga akan meneruskan rondaan untuk meningkatkan tahap keselamatan.
“Kami percaya penduduk kampung di zon merah tidak akan takut lagi dan akan menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.
0 comments:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.