Johor
Bahru: Seorang petugas Barisan Nasional (BN) cedera dirempuh kereta
dinaiki sekumpulan lelaki dipercayai penyokong pembangkang, ketika
mangsa memasang sepanduk di tepi Jalan Teratai dekat Johor Jaya di sini,
malam kelmarin.
Ketika kejadian jam 1 pagi itu, Ahmad Nazim Mohamed, 27, berkata dia
bersama seorang rakan sedang memasang sepanduk dan bendera parti sebelum
tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi kuat hon sebuah kereta jenis Proton
Wira yang menuju ke arah mereka. “Sebaik mendengar bunyi hon, saya lihat
seorang lelaki sedang berlari di sisi kereta sambil memegang kayu
menuju ke arah kami.
Bimbang
kejadian tidak diingini, rakan saya Mohd Sukhri Soyod, 19, menghidupkan
motosikal sebelum saya memboncengnya. Rakan saya kemudian memecut
hingga tiba satu simpang dan cuba membuat pusingan U.
“Bagaimanapun, ketika kami hendak membuat pusingan, secara tiba-tiba
kereta terbabit merempuh motosikal menyebabkan kami berdua terjatuh ke
jalan.
“Dalam keadaan kesakitan akibat terjatuh, kami bangun dan lari
meninggalkan motosikal di situ sebelum diselamatkan seorang rakan yang
kebetulan melalui kawasan itu,” katanya ditemui ketika diziarahi Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Tan Cher Puk dan Jawatankuasa
UMNO Bahagian Pasir Gudang, petang semalam.
Mengikut Ahmad Nazim, kereta itu kemudian menghampiri motosikal yang
tersadai di jalan sebelum seorang penumpang turun dan merosakkan
kenderaan itu dengan kayu yang dibawa sambil menjerit kata-kata kesat.
Dia kemudian dihantar rakannya ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk
rawatan, sebelum membuat laporan di Balai Polis Johor Jaya berhubung
kejadian itu.
Sementara itu, Naib Ketua Pemuda
UMNO Bahagian Pasir Gudang, Roslan Hassan, menyelar serangan itu sambil
menganggapnya sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab yang cuba
dicetuskan penyokong pembangkang.
0 comments:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.