4 April 2013

Kerajaan Barisan Nasional (BN) diminta tidak menipu rakyat kerana Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang dipropaganda kononnya berjaya masih jauh daripada mencapai matlamat sebenarnya.
 
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata, dasar transformasi yang dibawa Perdana Menteri, Najib Razak dengan lambakan pelbagai projek mega tidak memberi keuntungan kepada negara.

“Kita ada banyak contoh, kerajaan nak buat Bandar Malaysia di Pengkalan Tentera Udara Sungai Besi. Jumlah kos pengambilalihan tanah ialah RM1.6 bilion tetapi kos penempatan semula pengkalan udara ialah RM2.7 bilion.

“Ada lagi yang lebih merugikan kita iaitu projek kawasan kewangan antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD) sebagai “Tun Razak Exchange” (TRX) yang akan menelan belanja sebanyak RM26 bilion dana awam,” kata Pua pada satu majlis mengumpul dana pilihan raya umum di sini malam tadi.

Menurut beliau, projek yang menelan belanja berbilion ringgit ini dikhuatiri tidak memberi keuntungan kepada negara.

“Kerajaan telah memperkenalkan 10 tahun pengecualian cukai 100 peratus bagi setiap syarikat yang layak, ada juga pengecualian duti setem ke atas pinjaman dan perjanjian perkhidmatan, beri lagi elaun bangunan industri, pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama lima tahun bagi pemaju hartanah,” jelas beliau.

Apa yang menjadi persoalan besar apabila projek TRX ini mendapat pinjaman daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang disifatkan sebagai ‘akaun kedua’ kerajaan Malaysia.

“Kita juga nak pertikaikan mengapa 1MDB memberi pinjaman sebanyak US$1.2 bilion kepada sebuah syarikat Petrosaudi. Selepas itu, setiap kali sebelum Petrosaudi dapat membayar faedah sebanyak US$100 juta setiap tahun, 1MDB menambah pinjaman kepada Petrosaudi sebanyak US$500 juta pada 2010 dan US$200 juta pada 2011.

“Yang menjadi keraguan, bila kita tanya, menteri langsung tidak memberi maklumat kekukuhan syarikat Petrosaudi daripada segi kewangan, sehingga 1MDB boleh memberi pinjaman sebanyak US$1.7 bilion atau kira-kira RM5.2 bilion kepada syarikat terbabit,” kata Pua.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu sebelum itu menjelaskan bahawa 1MDB adalah sebuah syarikat yang dimiliki kerajaan sepenuhnya dan segala pinjaman yang diperoleh 1MDB ini adalah dijamin kerajaan persekutuan.

“1MDB diberi kuasa mutlak untuk membuat pelbagai perbelanjaan atau pelaburan tanpa pantauan secara langsung daripada Parlimen dan ini membimbangkan kita,” katanya.

Justeru itu, Pua menegaskan jika Pakatan Rakyat (PR) diberi mandat untuk mentadbir Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-13 ini, 1MDB akan dibatalkan supaya tidak bertindih dengan peranan Khazanah Nasional bagi menutup berlakunya ruang penyelewengan wang negara.

0 comments:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Pengikut