4 April 2013

SHAH ALAM - Datuk Seri Najib Razak meminta rakyat memberi mandat lebih kukuh kepada Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Perdana Menteri berkata, hanya mandat kukuh membolehkan kerajaan melipat ganda usaha melakar masa depan lebih baik, lebih bermakna dan sejahtera, bukan saja untuk generasi sekarang, sebaliknya berkekalan hingga ke anak cucu. Justeru, beliau dan kepemimpinan BN akan turun padang bertemu rakyat bagi menjelaskan kenapa BN perlu diberi peluang memerintah negara sekali lagi. Malah, beliau akan menjelaskan kewajaran BN diberi kemenangan dengan majoriti kukuh berbeza dengan sebelum ini apabila hilang penguasaan dua pertiga dalam Parlimen untuk kali pertama. “Setiap undi tuan-tuan dan puan-puan adalah penting, jangan dibazirkan dan janganlah pertaruhkan masa depan anak dan negara. “Fikir dan renungkanlah sebaik-baiknya sebelum membuat keputusan kerana undi anda akan tentukan bukan saja hala tuju negara dan negeri, tetapi juga untung nasib anak cucu kita semua. “Dalam pilihan raya ini anda bertanggungjawab memilih wakil bukan saja di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi memilih kerajaan yang akan mendukung aspirasi anda semua. Hargai sokongan “Saya berdiri di sini dengan penuh rasa tawaduk dan hormat kerana diberi kepercayaan berkhidmat untuk anda dan amat menghargai serta menjunjung tinggi ke-percayaan rakyat,” katanya ketika mengumumkan pembubaran Parlimen yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen, semalam. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut berdiri di sebelah Najib ketika pengumuman pembubaran untuk memberi laluan PRU-13 diadakan. Najib berkata, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mua’adzam Shah memberi perkenan pembubaran Dewan Rakyat ketika beliau menghadap Seri Paduka di Istana Negara. Kenderaan rasmi Perdana Menteri memasuki pekarangan istana jam 8.10 pagi dan keluar sejam kemudian. Upacara menghadap Seri Paduka bagi memohon perkenan membubarkan Parlimen oleh Najib mengulangi sejarah bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, iaitu Perdana Menteri kedua melakukan perkara sama ketika memohon pembubaran Parlimen bagi membolehkan PRU-4 pada 1974. Ketika itu Tuanku Abdul Halim ialah Yang di-Pertuan Agong Keempat dan kini Yang di-Pertuan Agong Ke-14. Najib juga menasihatkan rakyat, terutama di Pantai Timur Sabah, tidak bimbang melaksanakan tanggungjawab kerana pasukan keselamatan negara akan menjalankan tugas memastikan persekitaran selamat untuk mengundi. Utama kepentingan rakyat Dalam ucapan 13 minit itu, Najib merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia kerana memberi kepercayaan kepada BN menerajui kepemimpinan negara sejak lima tahun lalu, termasuk empat tahun di bawah pimpinan beliau sebagai Perdana Menteri. “Kerajaan BN adalah kerajaan yang meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya. Apabila berjanji, kami menepatinya, apabila diberi amanah akan menjunjung dan memeliharanya, bukan sikap kami
 menanam tebu di bibir,” katanya. - BH
 

0 comments:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Pengikut