28 Ogos 2013

Siti Nurhaliza Janjikan Kelainan Di Istana Budaya

Posted by Unknown On Rabu, Ogos 28, 2013 | No comments
Penyanyi tersohor negara, Dato’ Siti Nurhaliza bakal mempersembahkan 35 buah lagu tradisional bersama dengan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dalam konsert solo irama tradisional pertamanya. ‘Konsert Lentera Timur Dato’ Siti Nurhaliza’ ini bakal diadakan di Istana Budaya dari 20 hingga 22 September ini.
Menemui Siti di sidang akhbar sempena konsert ini di Istana Budaya pada Selasa, dia menyatakan yang dia akan membawakan kelainan dalam persembahannya. Tidak hanya akan menyampaikan lagu-lagu yang telah menjadi kebiasaan untuknya seperti Asli, Joget, Inang, Zapin, Keroncong dan Masri, Siti juga akan membawakan lagu-lagu yang belum pernah dinyanyikannya dalam mana-mana persembahan seperti lagu yang berentak Dikir Barat dan Makyong.
Konsert yang mengangkat irama tradisional yang julung kali diadakan oleh Siti ini menjadi tanda perjalanan seninya yang telah memasuki usia 18 tahun. Diterbitkan oleh Istana Budaya dan Siti Nurhaliza Productions (SNP), konsert yang dinamakan ‘Lentera Timur’ ini bakal menggambarkan bagaimana irama tradisi negara kita ini akan terus kekal bersinar hingga akhir nanti.
“Konsert ini bakal mengambil masa selama dua jam. Seleksi pilihan lagu pada malam pertama hingga ketiga akan sama, tapi tak tahulah kalau-kalau ada pertukaran di saat-saat akhir. Pihak kami (Istana Budaya dan SNP) ada perancangan untuk merakamkan konsert ini kerana kami merasakan konsert ini sangat menarik kerana menampilkan lagu-lagu tradisional, tapi semuanya masih dalam perbincangan,” ujar Siti yang kali terakhir muncul dengan album berentak tradisional pada penghujung tahun 2008 menerusi album ‘Lentera Timur’.
Pengarah muzik ternama, Mohd Yazid Zakaria dari OTM dan Aubrey Suwito bakal berganding bahu dalam memberikan sentuhan magis untuk menggubah dan menyusun lagu-lagu yang bakal dialunkan oleh suara emas Siti. Konsert ini juga akan menampilkan penggiat seni berpengalaman, Lokman Ghani selaku pengarah konsert.
Bagi yang berminat untuk menyaksikan sendiri alunan merdu paduan vokal Siti bersama alunan muzik mengasyikkan dari OTM, jangan lupa untuk mendapatkan tiket anda untuk menjadi saksi kehebatan konsert irama tradisional yang julung kali diadakan ini. Hubungi AirAsiaRedTix Ticketing Hotline di 03-87754666 atau lawati laman web di pautan www.airasiaredtix.com. Tiket-tiket berharga RM 78 hingga RM 518. - Gua

0 comments:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Pengikut