6 Oktober 2013

KUALA KANGSAR – Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan dakwaan wujud arahan atau tindakan di peringkat atasan parti itu untuk mengekalkan tiga Naib Presiden pada pemilihan 19 Oktober ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Beliau berkata dakwaan itu bercanggah dengan transformasi yang dilakukan parti, termasuk penambahan bilangan perwakilan. “Kalau Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Majlis Tertinggi telah setuju bahawa sudah tiada kuota dan kita perluaskan perwakilan kepada 150,000 orang penambahan, iaitu penambahan 6,000 peratus, nak kata ada pakatan sekatan itu tidak masuk akal kerana bercanggah dengan apa yang kita lakukan sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan bahagian Umno di Perak pada Ahad. Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, mengulas dakwaan yang disiar beberapa portal berita bahawa terdapat kempen dalam parti agar tiga naib presiden Umno sedia ada dikekalkan. Beliau berkata pemilihan dilakukan secara terbuka dan perkara itu diserah kepada perwakilan untuk menilai sendiri calon mana yang layak menerajui parti di peringkat masing-masing tanpa mengikut emosi. Mengulas dakwaan bahawa calon dari kalangan anggota Kabinet mempunyai kelebihan pada pemilihan kali ini, Hishammuddin berkata menteri dan timbalan menteri terdedah dengan pelbagai isu manakala calon lain tidak mempunyai kekangan serta boleh menjanjikan apa sahaja. “Saya sendiri beri penjelasan soal keselamatan negara, termasuk insiden pencerobohan pengganas Sulu di Sabah, bagi memberi gambaran sebenar apa yang berlaku. “Inilah sebab kita beri penjelasan dalam majlis seperti ini (taklimat keselamatan), tetapi apabila kita jawab seperti ini, orang kata menteri dan timbalan menteri ada kelebihan berbanding calon lain. “Jadi, tak ada menang atau kalah, biar perwakilan membuat keputusan, satu hari nanti siapa yang pegang jawatan sebeginipun akan terpaksa menjawab dan dilihat ada kelebihan, namun kita tidak boleh lari daripada tanggungjawab untuk menjawabnya,” katanya. -BERNAMA

0 comments:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Google+ Followers

Pengikut