7 Oktober 2013

Hubungan antara pelakon jelita, Nora Danish dengan anak VVIP, Mohamed Nedim Mohamed Nazri semakin menjadi perbualan hangat di mana terbaru, pelakon filem ‘Bencinta’ ini dikatakan menerima hadiah sebuah kereta Ferrari dan rumah banglo bernilai RM7.2 juta dari jejaka tersebut.
Walaupun sebelum ini Nora tidak mendedahkan status hubungannya dengan anak kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu, namun pembelian kereta serta rumah banglo mewah tiga tingkat tersebut sedikit sebanyak menunjukkan hubungan mereka lebih sekadar teman biasa.
Menghadiri pertandingan ‘Fruitale Star Search’ yang diadakan di Mydin Subang Jaya petang Sabtu, membuka peluang kepada GUA untuk bertemu dengan duta Fruitale itu bagi mendapatkan penjelasaannya mengenai hadiah mewah yang diterimanya.
“Saya agak terkejut dan tidak tahu menahu pun mengenai isu ini. Setahu saya, rumah itu adalah hadiah untuk ibunya dan dia bukan beli untuk saya. Takkanlah dia nak beli hadiah semahal itu untuk saya. Malah, isu kereta Ferrari pun tidak benar kerana saya tidak pakai pun kereta jenama tersebut,” jelas Nora kepada GUA.
“Orang suka buat andaian dan sejujurnya, saya kesian pada dia kerana orang asyik bercakap pasal reputasi jahat dia saja. Jangan kaitkan apa yang dia buat dengan saya kerana memang dia tidak beli hadiah yang dimaksudkan itu untuk saya. Di sini saya ingin tegaskan yang isu ini tidak betul sama sekali dan ia adalah fitnah semata-mata.”
Ketika pertemuan kami, GUA juga sempat bertanyakan kepada Nora mengenai keterbukaan Nedim di laman sosial miliknya yang menunjukkan seolah-olah mereka mempunyai hubungan istimewa. Walaupun Nora sendiri tidak pernah mengiyakan mengenai perkara tersebut, namun kemesraan yang dipamerkan membuktikan yang mereka adalah pasangan kekasih.
“Bagi saya, terpulang pada hak individu dan itu adalah hak dia untuk berbuat demikian. Dia berani untuk bersikap terbuka mengenai hubungan kami namun saya tetap dengan prinsip saya, di mana nak berkahwin baru saya akan umum,” ujar pelakon drama ‘Tentang Dhia’ ini sambil menjawab isu kononnya dia hanya memilih untuk berkawan dengan anak Menteri sahaja.
“Saya berkawan rapat dengan ramai orang dan mereka yang bercakap begitu mungkin tidak kenal rapat dengan saya. Benda lepas banyak mengajar saya dan saya sendiri tidak meletakkan kriteria untuk berkawan dengan sesiapa. Bagi saya, apa yang penting adalah persefahaman dan selagi selesa, saya tidak mempunyai masalah untuk berkawan dengan sesiapa sahaja.”

0 comments:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Pengikut