15 Oktober 2013

Menyahut Panggilan Agung: Satu Pengembaraan Rohani

Posted by Unknown On Selasa, Oktober 15, 2013 | No comments
ANTARA kasihkan anak dan kasihkan Pencipta. Maka si ayah dan si anak memilih kasih kepada Tuhannya. Pengorbanan yang tidak mudah. Tetapi hati redha sehingga berlakulah keajaiban! Tanda kasih sayang Sang Pencipta kepada hamba-Nya. Hari ini kita mengulang sunah Nabi Ibrahim dan keluarganya dengan menyembelih korban sebagai bukti melahirkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah dan diraikan dalam AidilAdha yang mulia ini.
Biarpun sambutannya tidak semeriah Aidilfitri dikebanyakan negeri, hakikat Hari Raya Korban ini sebenarnya lebih besar erti dan darjatnya berbanding Aidilfitri. Takbir dipanjangkan bermula dari malam hari raya sehingga hari-hari Tasyrik. Penyembelihan korban dilakukan, demikian pula kemuncak umat Islam melaksanakan ibadah haji dengan iringan Talbiah berkumandang memecah keheningan Tanah Haram.
“Wahai Tuhan kami, kami datang semata-mata dengan ikrar setia dan taat kepada perintahMu, wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagiMu, kami sahut seruanMu, sesungguhnya segala puji nikmat dan kekuasaan kesemuanya adalah bagiMu, wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagiMu”
Kalimah Talbiah bagai lambaian Tuhan yang menggamit jiwa umat Islam seluruh dunia yang berduyun-duyun berkunjung ke Rumah Allah. Satu perjalanan rohani yang tidak mudah. Datang ke Rumah Allah membawa panji taat setia kepada Tuhan Yang Esa. Memakai pakaian yang sama, tanda tiada beza sesama mereka. Hanya mengharapkan agar kunjungan mendapat tempat di sisi-Nya.
Berbahagialah kepada mereka yang berpeluang menunaikan ibadah ini dengan sebaiknya. Hal demkian kerana, ujian sebenar dalam perjalanan rohani ini bukanlah bermula daripada menjejakkan kaki ke Kota Suci Makkah, tetapi bermula daripada kita memasang niat untuk menunaikan haji. Ikhtiar dan ketegasan dalam menabung memerlukan semangat yang tinggi untuk melaksanakannya. Hati sedikit terusik mendengar kisah bakal haji menabung selama 30 tahun untuk memulakan perjalanan rohani ini dan bagaimana pula dengan usaha diri kita sendiri?
Tempoh menunggu giliran yang lama menjadi satu isu yang semakin lama semakin parah dan menuntut kesabaran yang tinggi kepada para bakal jemaah. Kuota 26,000 setahun yang diperuntukkan kepada Malaysia tidak mampu lagi menampung jumlah permintaan yang semakin meningkat. Akhirnya ada yang menutup mata sebelum sempat melihat Rumah Allah dan jemaah yang muda dan sihat tubuh badan untuk menunaikan ibadah haji semakin kurang jumlahnya kerana memberi laluan kepada warga emas.
Dalam usaha mengelakkan para jemaah haji ini akhirnya hanya berada pada satu peringkat umur sahaja, perlu ada usaha dalam memberi kesedaran kepada generasi muda untuk mendaftar awal bagi mendapat giliran dalam keadaan fizikal yang masih kuat dan bertenaga. Umat Islam harus disedarkan bahawa ibadah haji ini bukan hanya untuk mereka yang ‘telah sampai seru’ semata-mata tetapi wajib ke atas setiap umat Islam yang berkemampuan dan telah memenuhi syaratnya.
Ibu bapa boleh mengambil inisiatif membantu mendaftarkan anak-anak mereka untuk menunaikan haji bagi mendapat giliran untuk mereka apabila dewasa kelak. Manakala pihak pengurusan Tabung Haji yang mengunjungi sekolah, bukan hanya perlu menekankan mengenai kepentingan membuat tabungan tetapi perlu memberi maklumat yang tepat dan mencukupi mengenai pendaftaran ibadah ini terutama kepada pelajar sekolah menengah yang telah baligh dan matang. Semua ini bertujuan bagi menggalakkan lebih ramai bakal jemaah haji terdiri daripada golongan muda dan tempoh giliran yang panjang kurang dirasai oleh bakal jemaah.
Bagi yang berkemampuan sedikit beruntung kerana berpeluang ‘memotong’ giliran yang bertahun-tahun ini dengan mengikuti pakej yang bersesuaian dengan kesanggupan jumlah wang yang dikeluarkan. Biarpun sedikit sebanyak terusiklah hati orang ramai melihat kepada keadaan ini, yakinlah bahawa Allah jua Pemberi Rezeki dan Allah jua yang memilih sesiapa pun yang menjadi tetamu-Nya pada setiap tahun. Kita telah berusaha, kita telah berdoa dan redhalah ke atas setiap keputusan-Nya. Ini kerana wang banyak tidak memberi jaminan kesempurnaan ibadah haji. Jika diperhatikan masih ada yang pulang dengan membawa sikap buruk yang sama dan tidak berlaku sebarang perubahan yang baik ke atas diri mereka.
Keinginan dan sikap seharusnya tidak membutakan mata hati kita dalam usaha menempatkan diri menjadi tetamu Allah. Kerana kurang sabar menunggu giliran, kita bergolok gadai mendaftar di pakej yang menjamin giliran kita yang mungkin membawa kepada masalah yang lain. Sama ada ditipu, visa tidak diluluskan, tiada bekalan buat waris yang ditinggalkan yang akhirnya membuat hati menjadi tidak tenang sekiranya berjaya menunaikan ibadah haji.
Perjalanan rohani ini bukanlah mengenai diri sendiri semata-mata. Sebaliknya mempersiapkan juga segala kelengkapan untuk waris yang bakal ditinggalkan tidaklah sehingga hidup melarat setelah pulang ke tanah air dek bergolok gadai dalam memenuhi keinginan menunaikan haji. Allah itu Maha Pengasih dan tidak sama sekali membebankan hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu dilakukannya.
Ibadah haji ini adalah satu pengembaraan rohani dan jasmani yang menceritakan tentang pengorbanan, kesabaran, kasih sayang, kemaafan dan air mata yang bukan sedikit, tetapi benar-benar menguji setiap hamba-Nya. Bukanlah gelaran Haji dan Hajah yang patut dikejar, sebaliknya kerendahan hati apabila menjadi tetamu Allah dan pulang dengan kerendahan hati tersebut. 

0 comments:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Pengikut

Friends