15 Oktober 2013

Ops Khas Jejak Nordiana, Shafiz Denial

Posted by Unknown On Selasa, Oktober 15, 2013 | No comments
Kuala Lumpur – Pertubuhan Penggerak Masyarakat Malaysia (PPMM) menubuhkan pasukan khas melalui Operasi (Ops) Jejak Diana dan Shafiz dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia.
Pengerusinya Mohd Nazri Sahat berkata, PPMM akan berusaha sedaya upaya membantu Muhammad Shah Abdullah, 35, mencari dua anaknya Nordiana Shafiza, 10, dan Muhammad Shafiz Denial, 8, yang hilang sejak empat bulan lalu.
Katanya, pasukan itu setakat ini menjalankan tugas dengan berkesan, termasuk berjaya menjejaki isteri Muhammad Shah, Normaliza Mustafa, 34, yang menghilangkan diri akibat kemurungan selepas kehilangan dua anaknya.
“Alhamdulillah, kami berjaya menjumpai isterinya yang menghilangkan diri akibat tekanan perasaan pada 8 Oktober (Selasa) lalu. Sekurang-kurangnya, kurang sikit bebanan ditanggung Muhammad Shah.
“Kini kami meneruskan usaha mencari dua kanak-kanak itu dan bekerjasama dengan polis supaya kedua-dua pihak dapat bertukar-tukar maklumat,” katanya.
Menurut Nazri, kes kehilangan kanak-kanak terbabit tidak boleh dipandang remeh memandangkan terlalu banyak kejadian seumpamanya di bandar raya.
“Kes kehilangan kanak-kanak bukan lagi perkara luar biasa. Sebelum ini kita sering dikejutkan dengan pelbagai kes kehilangan kanak-kanak. Ada antaranya dijumpai dengan selamat dan ada juga sebaliknya.
“Jadi, kami akan memikul tanggungjawab ini untuk membantu Muhammad Shah dan keluarganya dengan menubuhkan pasukan khas Ops Jejak Diana dan Shafiz.
“Dalam keadaan tertekan, pasti Muhammad Shah tidak dapat berfikir dengan waras. Yang dia mahu adalah mencari anaknya sehingga terlupa menjaga kebajikan anaknya yang lain dan isterinya yang mengandung,” katanya.
Beliau berkata, buat masa ini dua anak Muhammad Shah berusia dua tahun dan tujuh bulan dipantau penjaga sementara, manakala Shah bersama PPMM dalam misi mencari mencari anaknya yang hilang.
“Satu keluarga di Semenyih yang juga ahli pertubuhan kami sanggup menjaga buat sementara waktu kedua-dua anak Shah. Saya terpaksa berbuat begitu kerana keadaan kedua-dua anak kecil ini tertekan.
“Mereka masih bayi dan perkara yang terjadi di sekeliling mereka membuatkan kedua-duanya keletihan, trauma dan tidak sesuai dibawa ke hulu dan ke hilir dalam misi mencari.
“Insya-Allah bila semuanya selesai, mereka akan disatukan semula. Kita akan lakukan misi mencari ini secara besar-besaran tanpa mengira siapa Muhammad Shah. Paling penting, nasib anaknya yang hilang dan keluarganya terbela,” katanya.
Menurut Nazri, PPMM merancang dan menjalankan usaha mencari, antaranya menampal poster, hebahan radio dan media.
“Begitupun, sebagai pertubuhan kebajikan, kapasiti kami terhad, lebih-lebih lagi persatuan ini baru ditubuhkan. Jadi, kami akan cuba sedaya mampu membantu Muhammad Shah dan keluarganya. Setidak-tidaknya, kami cuba memulihkan semangatnya dan keluarga.
“Jika ada maklumat mengenai kanak-kanak ini atau ingin sama menghulurkan bantuan, kami boleh dihubungi menerusi laman Facebook https://www.facebook.com/penggerak.net atau Bilik Gerakan Ops Jejak Diana dan Shafiz di No 12-2 Jalan Jernai, Medan Idaman, Gombak atau di talian 010-5172625,” katanya.- Harian Metro

0 comments:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Pengikut