21 Oktober 2013

‘Perang proksi’ Mukhriz dengan Khairy berterusan

Posted by Unknown On Isnin, Oktober 21, 2013 | No comments


KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah tentu kecewa dengan kekalahan anaknya, Datuk Mukhriz untuk merebut salah satu tempat Naib Presiden Umno.

Dengan kekalahan itu menyebabkan Mukhriz ketinggalan satu langkah daripada Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin kerana kedudukan ketua sayap parti adalah setara dengan Naib Presiden.

“Dengan kedudukan sekarang, Mukhriz ketinggalan satu langkah daripada Khairy,” kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali kepada Harakahdaily.

Beliau berpandangan tindakan Mukhriz yang dilihat sebagai proksi bapanya bertanding Naib Presiden Umno adalah sebagai usaha untuk ‘menyekat’ karier politik Khairy Jamaluddin.

Ini, katanya kerana Khairy juga dilihat sebagai proksi kepada bapa mertuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Khairy berada satu langkah di hadapan kerana menang Ketua Pemuda Umno, sementara Mukhriz pula ketinggalan kerana kalah untuk merebut Naib Presiden Umno,” katanya lagi.

Justeru, pada beliau battle of the proxy (peperangan proksi) antara Khairy dengan Mukhriz boleh berlaku dalam jangka yang panjang.

Katanya, walaupun berlaku persaingan di antara Khairy dengan Mukhriz tetapi ia dilihat menjurus kepada pertembungan antara Mahathir dengan Abdullah yang kedua-duanya adalah bekas Perdana Menteri.

Menurut beliau, pertembungan antara Menteri Belia dan Sukan dengan Menteri Besar Kedah itu tidak dilihat pengaruh yang ada kepada kedua-duanya tetapi sebaliknya siapa yang berada di belakang mereka.

“Persaingan ini akan berterusan sekiranya Mukhriz dilantik ahli Majlis Tertinggi Umno,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak ketika bercakap pada sidang media di IOI Golf Resort, Putrajaya, semalam memberitahu pelantikan Mukhriz sebagai ahli Majlis Tertinggi akan diberitahu kemudian.

Pada pemilihan Naib Presiden Umno, Sabtu lalu, tiga penyandang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berjaya mempertahankan jawatan dengan menewaskan Muhkriz, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

0 comments:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Pengikut