21 Oktober 2013

Lagi Pendedahan Pembaziran Jutaan Wang Rakyat Terbongkar

Posted by Unknown On Isnin, Oktober 21, 2013 | No comments

DAP mempersoalkan tindakan Kementerian Pendidikan melantik tiga perunding luar negara berjumlah RM268.5 juta bagi tempoh tiga tahun untuk meningkatkan bilangan guru bahasa Inggeris tempatan sedangkan terdapat cara yang lebih murah untuk menangani masalah itu.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Zairil Khir Johari (gambar), berkata Kementerian Pendidikan melantik British Council, Kumpulan Pendidikan Brighton dan Kumpulan SMR HR untuk menyediakan 360 mentor dari 2011 hingga 2013.

“Bayaran RM20 juta kepada McKinsey yang dihebohkan sebelum ini bukan pengakhiran cerita tetapi jawapan yang saya terima oleh Kementerian Pendidikan melalui jawapan di Parlimen mendedahkan maklumat itu iaitu 7,500 guru bahasa Inggeris dari 1,800 sekolah dilatih bagi tujuan tersebut.

“Jika dibahagikan RM270 juta kepada 360 mentor, seorang mentor mampu memperoleh RM21,000 sebulan tetapi malangnya maklum balas diterima daripada guru yang menyertai program tersebut, pengajaran hanya tiga ke empat jam sebulan.

“Bagaimana seseorang guru itu mampu menguasai bahasa Inggeris jika latihan diberikan hanya sedikit kepada mereka. Malah, jika RM270,000 itu dibahagi kepada 7,500 guru yang mengambil kursus itu, maka kosnya mencukupi bagi menampung pengajian di universiti tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Bukit Bendera itu berkata, kos mengikuti pengajian bahasa Inggeris di Universiti Wawasan hanya memerlukan RM24,000 setahun yang merupakan dua pertiga daripada kos program Kementerian Pendidikan itu.

Katanya, kos mengikuti kursus diploma Pengajaran Bahasa Inggeris kepada Khalayak Lain (TESOL) selama enam bulan juga hanya memerlukan RM4,500 di kolej swasta tempatan.

“Apa juga penjelasan yang diberikan Kementerian Pendidikan, jumlah wang yang dibelanjakan kepada 360 mentor sepanjang tempoh tiga tahun adalah satu jumlah tidak munasabah.

“Usaha Kementerian Pendidikan untuk meningkatkan kualiti guru bahasa Inggeris itu dialu-alukan tetapi jika terdapat kaedah dan pilihan lain lebih baik, mengapa perlu melantik perunding yang bayarannya terlalu tinggi,” katanya. ~tmi

0 comments:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Pengikut