30 Ogos 2013

Eksekutif AirAsia X Dibunuh Ketika Lawan Penjenayah

Posted by bong dom On Jumaat, Ogos 30, 2013 | No comments

Perompak bersenjata membunuh seorang eksekutif syarikat penerbangan AirAsia X berhampiran kediamannya di Ampang malam tadi ketika Putrajaya sedang berusaha memerangi jenayah berhubung penggunaan senjata api.
Shahrinawati Abu Bakar (gambar) meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital selepas perompak dipercayai menyerangnya selepas beliau meletakkan kenderaannya di luar rumah.
"Mereka menyerangnya menggunakan parang," menurut emel Air Asia X kepada The Malaysian Insider.
Ketua Eksekutif AirAsia X Azran Osman-Rani berkata, Shahrinawati, sebagai "seorang anak muda yang berbakat" dan telah dihantar ke Melbourne untuk mendapatkan pengalaman antarabangsa.
"Beliau juga telah bertunang dengan pegawai keselamatan kami dan akan berkahwin dalam tiga bulan akan datang," kata emel tersebut.
Pembunuhan gadis tersebut berlaku ketika insiden bunuh menggunakan senjata api memuncak di Malaysia dengan sekurang-kurangnya 22 kematian direkodkan sejak Mei.
Statistik Putrajaya mendapati kes bunuh dan rompakan menggunakan senjata api meningkat pada suku ketiga tahun 2013, berbanding tempoh sama pada 2012 walaupun kadar jenayah keseluruhannya menurun.
Statistik yang dikeluarkan Pemandu menunjukkan jenayah indeks sebanyak 74,127 bermula Januari hingga Jun 2013, menurun 2,120 kes daripada 76,247 yang dilaporkan bagi tempoh sama tahun lalu.
Kes jenayah bagaimanapun meningkat daripada 14,811 kepada 15,098 bagi tempoh sama.
Daripada jumlah itu, rompakan (termasuk samun berkumpulan) menggunakan senjata api turut meningkat daripada 69 kepada 74 kes.
Kes bunuh meningkat daripda 291 pada 2012 kepada 322 kes bagi tempoh enam bulan pada 2013.
Jun 2013 menunjukkan kes tertinggi dengan 14 kes rompakan berkumpulan menggunakan senjata api dan tiga kes rompakan menggunakan senjata api.
Jenayah indeks merujuk kepada jenayah yang kebiasannya berlaku. Jenayah kejam adalah sub kategori jenayah indeks, termasuk kes bunuh, rogol, rompakan berkumpulan, dan rompakan tanpa atau dengan senjata api.
Putrajaya telah mengisytiharkan perang terhadap 40,313 individu yang dikenalpasti daripada 49 organisasi yang dipercayai geng penjenayah.
Antara geng berkenaan adalah Geng 04, Geng 08 dan Geng 36.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi berkata ahli geng berkenaan dipercayai terlibat kes bunuh dan juga aktiviti melibatkan dadah.
Mereka melanggar peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 5(1) Akta Persatuan 1966, yang digazetkan semalam. - The Malaysian Insider

0 comments:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Google+ Followers

Pengikut