5 Oktober 2013

Kerajaan tidak akan memperjudi keselamatan dan ketenteraman awam semata-mata kerana terdapat penolakan terhadap peruntukan penahanan pencegahan tanpa bicara yang dilihat sebagai melanggar hak asasi manusia.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penahanan tanpa bicara mempunyai kelebihan dalam aspek tindakan pencegahan ke atas jenayah terancang dan jenayah berat, termasuk memberi perlindungan kepada saksi yang takut untuk tampil memberi keterangan di mahkamah.

"Terdapat banyak kes di mana saksi bagi kes-kes jenayah terancang dan jenayah berat sebelum ini, telah dibunuh, diugut dan sebagainya yang menyebabkan mereka takut untuk memberi keterangan," katanya ketika membentangkan Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 untuk bacaan kali kedua dalam persidangan Dewan Rakyat, Selasa.Ahmad Zahid berkata walaupun terdapat pihak tertentu yang mempunyai kepentingan peribadi akan menentang dan mengutuk tindakan kerajaan untuk memperkenalkan semula peruntukan tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan dan sebagainya, ia masih diperlukan demi kepentingan dan keselamatan rakyat.

Katanya, antara kekangan utama dalam proses siasatan kes-kes jenayah terancang dan jenayah berat ialah ketiadaan pentahkikan bagi mengukuhkan keterangan yang merupakan cabaran terbesar untuk memerangi jenayah terancang dan jenayah berat.

"Kegagalan menemui barang kes seperti senjata yang digunakan akan menyebabkan kes tersebut tidak boleh dibawa ke mahkamah walaupun pengakuan suspek berjaya direkodkan oleh polis," katanya.

Ahmad Zahid berkata dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi pada masa ini, penambahbaikan Akta Pencegahan Jenayah 1959, termasuk peruntukan penahanan pencegahan sangat diperlukan untuk mengekang secara berkesan tindak-tanduk penjenayah yang berada dalam tahanan serta meningkatkan kapasiti pengawasan polis.

"Ini penting kerana dengan bantuan peralatan komunikasi yang canggih, penjenayah khususnya dalang kongsi gelap yang dikenakan perintah pengawasan atau tahanan pencegahan masih mampu meneruskan kegiatan jenayah melalui arahan yang boleh diberikan dengan mudah kepada ahli kumpulan masing-masing, misalnya memberi amaran atau mencederakan saksi," katanya.

Beliau berkata pembentangan rang undang-undang itu juga untuk memperkasakan Akta Pencegahan Jenayah 1959 yang sudah lapuk dan tidak relevan lagi dengan keadaan semasa dan arus teknologi yang berkembang pada masa ini.

Ahmad Zahid juga berkata pindaan dibuat untuk memastikan pihak polis boleh mengambil tindakan secara lebih efektif terhadap penjenayah seterusnya membendung aktiviti jenayah daripada terus meningkat.

Katanya, tanpa undang-undang yang efektif, kegiatan jenayah berat dan jenayah terancang tidak dapat dibendung dengan berkesan dan seterusnya akan menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Dari aspek sosial, selain peningkatan kadar jenayah, golongan pelajar juga akan menjadi sasaran ahli-ahli kongsi gelap sedia ada untuk merekrut anggota baharu bagi menyertai kumpulan mereka, menurut Ahmad Zahid.

"Sekiranya enggan, mereka tanpa belas kasihan akan terus mengancam pelajar-pelajar ini sehingga sanggup mencederakan sesiapa sahaja yang tidak mengikut kemahuan mereka," tambahnya.

Beliau berkata selain menyebabkan para pelajar takut sehingga menjejaskan pelajaran mereka, kegiatan seperti penyalahgunaan dadah, perjudian, maksiat dan pergaduhan di tempat awam akan turut meningkat.

Ahmad Zahid berkata dari sudut ekonomi, kumpulan kongsi gelap yang bermaharajalela akan menjejaskan keyakinan pelabur asing dan pelabur tempatan, termasuk peniaga yang bimbang untuk menjalankan perniagaan mereka kerana dipaksa membayar wang perlindungan kepada kumpulan kongsi gelap.

"Kadar jenayah berat yang tinggi juga akan menyebabkan pelancong berasa tidak selamat dan tidak memilih untuk melancong ke negara ini. Akhirnya, pembangunan ekonomi akan terencat dan seterusnya menjatuhkan nilai mata wang negara," katanya.

Ahmad Zahid berkata dari sudut politik pula, terdapat kemungkinan kumpulan jenayah terancang mempengaruhi ahli-ahli politik dan pegawai-pegawai kanan kerajaan supaya melindungi kegiatan mereka yang akan menyebabkan institusi kerajaan hilang kewibawaan seterusnya menyebabkan kerugian yang besar kepada negara.

Beliau juga berkata sejak kebelakangan ini, kadar peratusan jenayah berat dan jenayah terancang daripada keseluruhan peratusan indeks jenayah telah meningkat, dan ini telah meningkatkan kebimbangan rakyat berhubung tahap keselamatan mereka.

Katanya, ini termasuk keseriusan kes-kes jenayah yang berlaku seperti yang dilaporkan dalam media massa antaranya penggunaan senjata api yang berleluasa, kejadian pembunuhan menggunakan senjata api dan pergaduhan ahli-ahli kumpulan kongsi gelap sesama mereka untuk merebut kawasan.

"Kerajaan peka akan kebimbangan yang dirasai rakyat dan bagi meredakan kebimbangan itu, terdapat keperluan untuk kerajaan menimbang dan mengkaji semula usaha-usaha menangani jenayah, terutama jenayah berat dan jenayah terancang, termasuk mengkaji undang-undang sedia ada," katanya

0 comments:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Google+ Followers

Pengikut