
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim diminta memberikan
penjelasan terhadap kenyataannya yang lebih menerima pandangan rakyat
berbanding pemimpin parti atau ahli politik.
Khalid sebelum ini dilaporkan memberi kenyataan ini: "Saya lebih
mendengar kritikan rakyat daripada pemimpin parti dan ahli politik".
Khalid dikatakan membuat kenyataan itu bagi menjawab kritikan terhadap
pentadbirannya oleh Ketua Umum PKR, Datu Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan
Presiden PKR, Azmin Ali dan kenyataan itu disiarkan oleh akhbar Sinar
Harian.
Pemimpin DAP pula kini memberi tekanan terhadap Khalid dengan meminta
menteri besar itu memberi penjelasan terhadap kenyataan itu.
"Saya meminta Khalid menjelaskan apa yang beliau maksudkan apabila
berkata, 'Saya lebih mendengar kritikan rakyat dari pemimpin parti dan
ahli politik' ," kata Gobind Singh Deo (gambar), Ahli Parlimen Puchong
dari DAP dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, pemimpin daripada partinya sendiri iaitu PKR turut meminta beliau memberi penjelasan berhubung isu sama.
“Memang kita dalam Pakatan mengutamakan rakyat tetapi Khalid mesti
menghormati fakta bahawa ahli politik mewakili rakyat dan menjadi tugas
mereka untuk membawa masalah rakyat kepada kerajaan negeri dan MB untuk
menyelesaikannya.
"Khalid jangan mengambil mudah hal ini," katanya yang juga Setiausaha Biro Undang-undang DAP.
Katanya, Khalid membuat kenyataan yang sangat serius dan bakal menghasilkan kesan serius.
"Tetapi sebelum saya komen lebih lanjut, saya pohon supaya dia
menerangkan perkara ini bagi membolehkan kita jelas sebelum membuat
sebarang respon," katanya.
Anwar dan Azmin sebelum ini mempertikaikan cara Khalid menguruskan ekonomi Selangor.
Khalid didakwa hanya pandai mengumpulkan wang tetapi tidak pandai membelanjakannya.
Pada 12 Oktober lalu, Anwar mengkritik Khalid secara terbuka dan meminta
beliau tidak lagi berbangga dengan lebihan kewangan yang diperolehi
tetapi gagal dalam membelanjakannya dengan baik.
Sebaliknya, beliau memuji Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang
disifatkannya berjaya membawa Pulau Pinang mencapai tahap prestasi
terbaik.
0 comments:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.