Setiap umat Islam pasti memiliki impian
untuk menunaikan ibadah haji yang menjadi rukun Islam kelima. Begitu
juga yang dirasai dua selebriti, Yatt Hamzah dan Heliza Helmi.
Walaupun kedua-duanya pernah
melaksanakan umrah pada awal Jun tahun lalu, kini mereka berdua
mengimpikan untuk menunaikan haji secepat mungkin.
Bagi pemilik nama sebenar, Haryati Hamzah, itulah impian ingin digapainya, dalam tempoh usia 33 tahun, sekarang ini.
“Alhamdulillah, sebelum ini saya sudah ke sana mengerjakan umrah dan
saya ingin ke sana lagi untuk tunai rukun Islam kelima pula.
“Insya-Allah, kalau ada rezeki, saya mahu ke sana tahun hadapan.
“Kalau boleh, saya mahu pergi berlima
bersama suami, anak, emak dan abah. Namun, jika keadaan tidak
mengizinkan, saya akan pergi bertiga dahulu,” katanya yang sebelum ini
mengerjakan umrah bersama Heliza Helmi, Irma Hasmie dan Diana Amir.
Sama juga ceritanya dengan Heliza,
walaupun masih tidak mempunyai perancangan tarikh, gadis berusia 27
tahun ini berharap agar impiannya itu tercapai secepat mungkin.
“Ya Allah, saya memang teringin nak
pergi haji. Itulah antara doa saya setiap hari dan ketika selesai solat.
Sebenarnya, setiap malam saya dan emak menonton rancangan televisyen
mengenai haji.
“Kalau diizinkan, saya nak pergi bersama
keluarga. Kalau boleh, saya nak angkut semua keluarga saya ke sana
sebab mesti seronok bila kita menunaikan haji bersama-sama,” katanya
yang setiap tahun melaksanakan ibadah korban.
Korban di Kemboja
Heliza memanjatkan syukur kerana pada
tahun ini selain di rumah, dia turut menyertai ibadah korban di Kemboja.
Pada masa sama bapanya melaksanakan ibadah itu di Makkah melalui
sahabatnya.
“Bagi saya, korban bukan sekadar beri
bahagian daging kepada orang lain. Sebaliknya kita juga perlu bersedia
dan sanggup berkorban apa yang kita sayang.
“Saya saran agar setiap orang tidak
melepaskan peluang untuk ibadah ini memandangkan ia setahun sekali,
tambahan pula besar pahalanya,” katanya yang bakal menyertai majlis
Fitrah Korban di Masjid Sungai Buloh pada 17 Oktober ini.
Tambah Yatt pula, jika tahun lalu, dia hanya melakukan ibadah korban di Malaysia, namun pada tahun ini dia memilih Kemboja.
“Saya terpanggil untuk membantu dan
meraikan mereka yang hidup dalam kesempitan dengan mengorbankan seekor
lembu. Pun begitu, saya hanya kirim kepada seorang ustaz yang ke sana.
“Insya-Allah, saya juga akan ambil
bahagian di sini. Sebelum ini, saya selalu ambil di kampung, Seremban,
namun tahun ini tak sempat kerana penyertaan sudah ditutup.
“Mungkin saya akan ambil bahagian di
Kuala Lumpur sahaja. Insya-Allah, pada tahun hadapan, saya ingin
mengorbankan seekor lembu untuk warga Palestin pula,” katanya.
Hayati erti pengorbanan
Tatkala menyifatkan pengorbanan Nabi
Ibrahim sebagai pengorbanan terbesar dan terhebat, Yatt mengakui dirinya
masih tidak sekuat itu.
Sambil mengambil iktibar daripada peristiwa itu, Yatt melihat Aidiladha bukan sekadar melakukan ibadah korban semata-mata.
Malah, kata ibu kepada Suci Hanania Malika, 3, ini, nilai pengorbanan itu perlu diterapkan dalam kehidupan seharian.
“Ramai orang ingat, korban itu setahun
sekali. Namun, itu hanyalah korban dari segi fizikal. Kita perlu
menerapkan nilai pengorbanan ini dalam kehidupan seharian,” katanya.
0 comments:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.